BANTU PENIAGA KECIL, MAJUKAN PELANCONGAN ALOR GAJAH ANTARA HARAPAN KEPADA KETUA MENTERI

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

REMBIA 20 November – Mandat yang diberikan kepada Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka diharap dapat diterjemahkan dengan memperbanyak inisiatif rangsangan ekonomi buat golongan peniaga kecil di negeri ini.

Peniaga, Muhammad Rizwan Rosman, 35, berkata, kepimpinan cemerlang Ab Rauf sebelum ini terbukti banyak membantu meringankan beban peniaga, khususnya menerusi inisiatif pengecualian sewa tapak perniagaan selama sebulan.

“Tok Rauf sangat bagus untuk kita semua yang berniaga. Harapan saya, beliau lihat juga kepada peniaga kerana ekonomi sekarang agak mencabar dan ramai yang bergelut.

“Inisiatif sewa percuma sebelum ini sangat membantu memberi kelegaan dan meringankan beban. Jika boleh, kita harap inisiatif seumpama ini diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Pasar Alor Gajah, di sini, pada Selasa.

Rizwan turut menyarankan agar Kerajaan Negeri memperhebat kempen promosi pelancongan di kawasan luar bandar seperti Alor Gajah bagi merancakkan lagi jualan peniaga setempat.

Jelasnya, peniaga di kawasan itu kini hanya bergantung kepada kehadiran pengunjung pada hujung minggu dan cuti persekolahan, manakala kuasa beli harian agak terhad berikutan persaingan dengan pasar raya besar.

Muhammad Rizwan juga berharap syarat pinjaman perniagaan dilonggarkan bagi membantu anak muda mendapatkan modal pusingan dengan lebih mudah tanpa proses birokrasi yang rumit bagi memperkasa golongan usahawan belia.

Beliau juga menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Ahmad Norazril Abdul Aziz, sebagai seorang yang peramah, mudah didekati dan mesra dengan penduduk setempat.

Justeru, beliau menaruh harapan agar wakil rakyat itu dapat meneruskan legasi perkhidmatan cemerlang pemimpin sebelum ini, di samping membawa perubahan yang lebih positif.

“Saya kenal YB Azril, beliau memang peramah dan sudah biasa datang ke sini menemui penduduk. Oleh itu, kita harap beliau dapat teruskan usaha di Rembia ini,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

231
Kongsi :
Previous post BAN HONG MAHU JADI EXCO MAMPU SEJAHTERAKAN RAKYAT