
INFRASTRUKTUR SEKOLAH AGAMA, KEPERLUAN GURU JADI FOKUS RAIS
PENGKALAN BATU 20 November – Penambahbaikan kemudahan sekolah agama dan keperluan tenaga pengajar antara perkara yang mahu diteliti Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Rais Yasin.
Menurutnya, penelitian terhadap keperluan sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) penting bagi memastikan kemudahan pendidikan dan keperluan tenaga pengajar dapat diberikan perhatian sewajarnya.
Menurutnya, beliau akan melihat perkara berkaitan infrastruktur, keperluan kakitangan serta guru bagi mengenal pasti ruang yang boleh ditambah baik.
“Apa jua hasrat Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri untuk memastikan syiar Islam di Melaka dapat diteruskan dengan baik, kita akan usahakan.
“Dalam masa sama, kita juga akan lihat isu berkaitan infrastruktur sekolah agama JAIM, termasuk aspek staffing (perjawatan), guru-guru dan sebagainya. Apa yang mampu kita buat yang terbaik, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mengadakan kunjungan dan ‘clock in’ di Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Bukit Palah, di sini, pada Khamis.
Hadir sama Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad dan isteri Rais, Datin Ernie Adilia Karim.
Rais turut mengharapkan kerjasama serta panduan semua pihak berkaitan bagi memastikan setiap tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Tekad saya adalah untuk lakukan yang terbaiklah untuk portfolio saya ini insya-Allah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

