
BUMBUNG BOCOR BUKAN ISU KECIL, ABDUL HAKIM PASTIKAN BANTUAN DISALURKAN KEPADA MANGSA TERJEJAS
LENDU 20 November – Kesulitan beberapa keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang berdepan masalah kediaman dimasuki air hujan akibat kebocoran bumbung mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.
Beliau berkata, masalah berkenaan perlu diberi perhatian segera, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang menyaksikan kekerapan hujan dan berpotensi menjejaskan keselesaan serta keselamatan penghuni.
Menurutnya, beliau turun padang meninjau beberapa kediaman penduduk terjejas bagi melihat sendiri keadaan rumah selain mendengar permasalahan yang dihadapi sebelum tindakan susulan diusahakan bersama pihak berkaitan.
“Saya turun melawat beberapa kediaman warga Lendu yang menghadapi masalah atap bocor, mendengar sendiri cerita mereka dan melihat keadaan rumah supaya tindakan susulan dapat diusahakan bersama pihak berkaitan.
“Insya-Allah, saya akan terus mengikuti perkembangan aduan ini. Rumah yang selamat dan selesa ialah keperluan setiap keluarga,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau pada Khamis.
Katanya, selain bertanya khabar dan mendapatkan maklumat mengenai kesulitan dihadapi, beliau turut menyampaikan sedikit bantuan keperluan harian bagi meringankan beban keluarga yang terlibat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kerja-kerja membaiki bumbung Pasar Awam Masjid Tanah yang mengalami kebocoran susulan hujan lebat sebelum ini juga sudah mula dilaksanakan.
Katanya, tindakan segera pihak berkenaan selepas menerima makluman mengenai kerosakan itu amat dihargai dan pemantauan akan diteruskan bagi memastikan masalah sama tidak berulang.
“Alhamdulillah selepas dimaklumkan, pihak berkenaan sudah mengambil tindakan segera. Kita akan terus memantau risiko perkara sama berulang selepas ini,” katanya.
Abdul Hakimberharap kerjasama semua pihak dapat memastikan setiap aduan rakyat diberi perhatian sewajarnya, khususnya melibatkan kemudahan asas, keselamatan dan kesejahteraan kehidupan penduduk di DUN Lendu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


