KINI DALAM KERAJAAN, RAFIE MAHU KHIDMAT LEBIH DEKAT DENGAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SERI NEGERI 20 November – Berada dalam pentadbiran Kerajaan Negeri membuka ruang lebih luas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Rafie Ahmad untuk memperkukuh khidmat kepada masyarakat, khususnya dalam mempercepatkan penyampaian bantuan dan menangani aduan penduduk.

Beliau berkata, pendekatan turun padang yang menjadi amalan sejak sebelum ini akan diteruskan, namun kedudukannya dalam pentadbiran kerajaan diharap dapat memudahkan penyelarasan bantuan menerusi agensi berkaitan.

Menurutnya, pengalaman sebagai penyelaras Parlimen Tangga Batu sebelum ini banyak memberi pendedahan dalam menguruskan keperluan masyarakat, termasuk membantu penduduk meskipun berdepan kekangan peruntukan.

“Kerja-kerja turun padang memang sudah biasa kita lakukan. Sebelum ini pun, walaupun dengan peruntukan yang terhad, kita tetap turun bertemu masyarakat, mendengar masalah dan membantu mereka.

“Insya-Allah, pendekatan itu akan diteruskan. Apatah lagi sekarang kita sudah berada dalam Kerajaan Negeri, jadi lebih mudah untuk kita turun padang dan melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Kompleks Seri Negeri, di sini, pada Rabu.

Rafie berkata, keutamaan beliau adalah memastikan setiap aduan penduduk mendapat perhatian sewajarnya, selain memperkukuh peranannya sebagai penghubung antara masyarakat dengan agensi kerajaan yang bertanggungjawab.

Katanya, akses lebih mudah kepada saluran pentadbiran diharap dapat membantu mempercepatkan tindakan susulan terhadap permasalahan yang dibangkitkan penduduk.

“Kita mahu memberikan ‘response time’ yang lebih baik terhadap aduan rakyat supaya setiap permasalahan dapat diberi perhatian dan tindakan dengan lebih cepat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi Paya Rumput yang memberikan mandat kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, termasuk masyarakat pelbagai kaum yang menyokong pendekatan perpaduan dan penyatuan yang dibawa BN dan PN sepanjang kempen.

Rafie memenangi kerusi DUN Paya Rumput dengan majoriti lebih 7,000 undi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

244
Kongsi :
Previous post DI USIA 65 TAHUN, AB RAUF BUKTIKAN IMPIAN ANAK KAMPUNG BOLEH JADI NYATA