
KEAMANAN MELAKA HASIL PENGORBANAN WARGA PDRM
MACHAP JAYA 23 Ogos – Pertemuan bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dianggap amat istimewa oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, tugas polis bukannya mudah keranan menuntut pengorbanan yang bukan sahaja datang daripada pegawai dan anggota itu sendiri, malah turut melibatkan isteri, anak serta ahli keluarga mereka yang lain.
Katanya, sehubungan itu Kerajaan Negeri amat menghargai jasa dan pengorbanan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak pernah mengeluh dalam memastikan Melaka sentiasa dalam keadaan aman.
“Keamanan yang kita nikmati setiap hari, ada tuan-tuan dan puan-puan yang bertugas tanpa mengira masa, meninggalkan keluarga serta sentiasa bersedia apabila khidmat diperlukan.
“Saya mewakili kepimpinan Kerajaan Negeri serta seluruh rakyat Melaka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh 580 warga PDRM bertugas di Daerah Alor Gajah atas segala khidmat bakti yang dicurahkan selama ini,” kata Ketua Menteri.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota IPD Alor Gajah sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di IPD Alor Gajah, hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Adun Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem.
Yang turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu.
Ab Rauf berkata, inisiatif dan sumbangan diulur hanyalah sebahagian daripada ikhtiar dan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap lapisan masyarakat terus mendapat perhatian, sama ada dalam soal keselamatan, kesihatan
mahupun kebajikan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


