
KAMPUNG ABBEY DAPAT DEWAN BAHARU RM500,000
ASAHAN 23 Ogos – Kemudahan awam untuk warga Asahan terus diperkukuh apabila Kerajaan Negeri menerusi Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Jasin memperuntukkan RM500,000 bagi pembinaan Dewan Baharu Kampung Abbey.
Dewan terbuka berkeluasan 24.6 meter x 18 meter itu menjadi satu lagi kemudahan penting yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembinaan dewan berkenaan merupakan antara usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat di kawasan luar bandar turut menikmati kemudahan yang selesa dan kondusif.
Menurut beliau, penyediaan infrastruktur awam yang lengkap amat penting kerana ia bukan sahaja menjadi tempat penganjuran pelbagai aktiviti masyarakat, malah berfungsi sebagai ruang untuk mengeratkan hubungan dan menyatukan komuniti.
“Ini merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat dan memenuhi keperluan rakyat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah MeSRa Bersama Masyarakat bersempena siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Taman Nyalas Permai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Terdahulu, Ketua Menteri menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan dewan baharu itu di Kampung Abbey.
Antara komponen pembinaan dewan terbuka itu adalah seperti pentas, bilik PA sistem, bilik persalinan, tandas awam, tandas VIP dan stor dengan jangkaan siap pada 24 November tahun ini.
Selain pembinaan dewan baharu itu, Ketua Menteri turut memperuntukkan RM15,000 bagi tujuan pembangunan Tanah Perkuburan Islam Baharu Kampung Asahan yang turut memberi manfaat kepada Surau Nur Iman di Bukit Palembang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


