
TOK RAUF HARGAI PENGORBANAN WARGA PDRM
MACHAP JAYA 23 Ogos – Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bukan sahaja menyantuni orang awam, sebaliknya turut melibatkan anggota keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengorbanan warga PDRM dan ahli keluarga masing-masing tidak cukup jika sekadar dizahirkan dengan ucapan terima kasih sahaja.
Berikutan itu katanya, Kerajaan Negeri akan terus berdiri bersama warga PDRM, memberi sokongan sedaya yang mampu agar penat lelah mereka dihargai, manakala kebajikan ahli keluarga pula diambil tahu dan menjadi keutamaan untuk dibantu.
“Jika ada ruang yang boleh kita bantu, insya-Allah kita bantu, jika ada keperluan yang boleh kita ringankan, kita
cuba ringankan. Saya datang bukan dengan tangan kosong, tetapi membawa bersama sedikit tanda ingatan dan sokongan Kerajaan negeri kepada keluarga besar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.
“Pertama, kita menyalurkan peruntukan RM10,000 IPD Alor Gajah, keruda kita juga akan menyalurkan RM1,000 kepada Balai Polis Alor Gajah, Balai Polis Hutan Percha, Balai Polis Tebong dan Balai Polis Machap Baru.
“Sementara itu ketiga kita juga akan menyampaikan RM1,000 kepada Persatuan Keluarga Polis atau PERKEP IPD Alor Gajah,” kata Ketua Menteri.
Beliau yang juga Adun Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota IPD Alor Gajah sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di IPD Alor Gajah, hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Adun Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem.
Yang turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu.
Ab Rauf berkata, sumbangan disampaikan adalah tidak setanding dengan jasa dan pengorbanan warga PDRM kepada Negeri Melaka, namun diharap menjadi tanda penghargaan daripada Kerajaan Negeri.
“Kita tidak pernah lupa setiap khidmat bakti warga PDRM yang menjaga rakyat, menjaga daerah ini dan menjaga keamanan Negeri Melaka sentiasa kita hargai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


