
WIFI PERCUMA: KAMPUNG ORANG ASLI TIDAK TERPINGGIR DARIPADA ARUS PENDIGITALAN
MACHAP JAYA 27 Ogos – Perkhidmatan WiFi percuma untuk Kampung Orang Asli seluruh Melaka antara berita gembira diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Program Sentuhan MeSRa Masyarakat Kampung Orang Asli Tebong Stesen sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya di Kampung Orang Asli Tebong Stesen, pada Ahad.
Tok Batin Kubang Badak dan Tebong Stesen, Besi Dulah berkata, inisiatif itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri pimpinan Ab Rauf untuk memastikan Orang Asli tidak ketinggalan dalam kepesatan ledakan dunia digital ketika ini.
“Pastinya kami berasa amat dihargai, meskipun jauh di pedalaman tetapi pembangunan untuk kami tidak dilupakan apabila turut diumumkan tentang perkhidmatan WiFi percuma. Perkhidmatan itu bukan sahaja melancarkan perhubungan malah amat penting dalam aktiviti seharian. Sudah terbukti Orang Asli tidak dipinggirkan.
“Antara perkara lain yang menggembirakan kami adalah apabila dapat berjumpa sendiri dengan Ketua Menteri dan barisan Exco Kerajaan Negeri. Walaupun tidak lama tetapi kesudian beliau untuk turun padang bertemu dan bertanya khabar membawa makna yang amat besar kepada kami.
“Bukan senang untuk Ketua Menteri bersama barisan Exco Kerajaan Negeri meluangkan masa masuk ke kampung bertemu rakyat khususnya masyarakat Orang Asli,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem.
Yang turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Besi berharap kunjungan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan pemimpin.
Terdahulu, pada program itu sebanyak 400 paket beras turut diagihkan kepada masyarakat orang Asli.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


