LEBIH 30,000 DIJANGKA HADIR MELAKA BERSELAWAT

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

PENGKALAN BATU 27 Ogos – Lebih 30,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan majlis ilmu Melaka Berselawat bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di Dataran 1Malaysia, Klebang, 29 Ogos ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, program keagamaan itu antara pengisian yang disusun Kerajaan Negeri menjelang 31 Ogos.

“Melaka Berselawat antara program yang disusun Kerajaan Negeri dengan membawa Habib Syech Assegaf dan pada malam itu nanti kita jangkakan antara 30,000 hingga 40,000 pengunjung akan hadir.

“Saya ingin mengajak seluruh rakyat Melaka khususnya untuk bersama-sama memenuhi Dataran 1 Malaysia, Klebang bagi menjayakan program Melaka Berselawat ini.

“Pengisian kerohanian ini diadakan sebagai wadah untuk rakyat bersama-sama menyatukan hati menerusi selawat dan doa, selain menyemarakkan semangat kecintaan terhadap negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka Tahun 1448H/2026M di perkarangan Dataran Pusat Islam, pada Selasa.

Sambutan dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, pada malam itu juga akan berlangsungnya penyampaian beberapa anugerah termasuk Anugerah Maulidur Rasul.

“Pada malam itu akan berlangsung penyampaian anugerah khas antaranya pengurusan masjid terbaik, pengurusan tanah perkuburan terbaik dan pemegang sijil halal perusahaan kecil dan sederhana (SME).

“Turut akan disampaikan pada malam itu hadiah kepada kontinjen-kontinjen terbaik perbarisan Maulidur Rasul tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

447
Kongsi :
Previous post WIFI PERCUMA: KAMPUNG ORANG ASLI TIDAK TERPINGGIR DARIPADA ARUS PENDIGITALAN