PENANTIAN 15 TAHUN GENERASI KEDUA FELCRA BUKIT SEDANAN BERAKHIR

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

ASAHAN 23 Ogos – Penantian selama 15 tahun bagi 106 keluarga generasi kedua Felcra Bukit Sedanan untuk mendapatkan hak milik tanah akhirnya berakhir apabila mereka menerima Notis 5A daripada Kerajaan Negeri.

Istimewanya, penyerahan notis itu disampaikan sendiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, hari ini.

Ketua Menteri berkata, penyerahan Notis 5A itu menjadi satu langkah penting kepada keluarga generasi kedua untuk merealisasikan impian memiliki sebidang tanah dan membina kediaman sendiri.

Beliau berkata, tempoh 15 tahun bukanlah satu penantian yang singkat, malah sepanjang tempoh itu pelbagai persoalan pastinya bermain di fikiran penerima mengenai bila urusan berkenaan akan diselesaikan.

“Menerusi penyerahan Notis 5A ini, perjuangan 106 keluarga Generasi Kedua FELCRA Bukit Sedanan akhirnya memasuki satu langkah penting menuju pemilikan tanah melalui Program Hak Milik Tanah FELCRA.

“Lebih bermakna, sepanjang tahun 2026 sahaja, lebih 450 Notis 5A telah diluluskan di seluruh daerah Jasin, sekali gus membuktikan usaha menyelesaikan urusan tanah rakyat terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Serahan Notis 5A Felcra Generasi Ke-2 Sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Asahan di Dewan Orang Ramai Felcra Bukit Sedanan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri turut meneruskan pendekatan memberikan diskaun khas lima peratus kepada penerima Notis 5A bagi membantu meringankan beban bayaran premium tanah.

Katanya, bagi tahun ini, diskaun berkenaan diberikan kepada semua penerima yang membuat bayaran penuh dalam tempoh tiga bulan, tertakluk kepada syarat tiada permohonan lanjutan tempoh atau rayuan pengurangan bayaran premium.

“Saya mahu semua penerima memanfaatkan peluang ini sebaik-baiknya. Kalau ada ruang untuk kita ringankan beban rakyat, kita ringankan. Kalau ada jalan untuk kita mudahkan urusan rakyat, kita mudahkan.

“Inilah yang kita maksudkan dengan semangat kerja ‘Demi Rakyat Untuk Rakyat’. Ia bukan sekadar ungkapan yang kita sebut di pentas, tetapi mesti diterjemahkan melalui keputusan yang memudahkan, tindakan yang menyelesaikan dan manfaat yang akhirnya sampai kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

196
Kongsi :
Previous post WIFI PERCUMA DI SEMUA KAMPUG ORANG ASLI
Next post TOK RAUF HARGAI PENGORBANAN WARGA PDRM