
KETUA MENTERI TURUN ASAHAN BUKAN DENGAN ‘TANGAN KOSONG’
ASAHAN 23 Ogos – Lebih RM1 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi pelbagai bentuk bantuan, pembangunan dan sumbangan kepada warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan menerusi siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, sebagai usaha memastikan setiap keperluan rakyat mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setiap kali turun padang, Kerajaan Negeri bukan sekadar hadir bertemu rakyat, sebaliknya membawa bantuan, penyelesaian dan manfaat yang menyentuh keperluan sebenar masyarakat.
“Setiap kali turun padang, kita tidak hadir dengan tangan kosong. Sebaliknya kita hadir membawa bantuan, penyelesaian dan manfaat yang menjawab denyut sebenar keperluan rakyat.
“Antaranya, kita menamatkan penantian selama 15 tahun buat 106 keluarga Generasi Kedua FELCRA Bukit Sedanan menerusi penyerahan Notis 5A, sekali gus membuka lembaran baharu kepada pemilikan tanah yang sekian lama dinantikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah MeSRa Bersama Masyarakat sempena siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Asahan di Taman Nyalas Permai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap keperluan perumahan rakyat apabila Puan Rosiah Mansur menerima bantuan baik pulih rumah bernilai RM40,000 di bawah Program Melaka Rumahku.
Pada masa sama, ujar beliau sebanyak 20 projek baik pulih rumah dilaksanakan Lembaga Perumahan Melaka dan GIATMARA, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, membabitkan keseluruhan peruntukan RM370,000 bagi memastikan keluarga di Asahan menikmati kediaman yang lebih selamat dan selesa.
“Kita terus memperkukuh kemudahan awam warga Asahan menerusi pembinaan Dewan Baharu Kampung Abbey bernilai RM500,000, selain memperuntukkan RM15,000 bagi pembangunan Tanah Perkuburan Islam Baharu Kampung Asahan serta sumbangan karpet yang memberi manfaat kepada Surau Nur Iman Bukit Palembang,” katanya.
Menurut Ketua Menteri, perhatian Kerajaan Negeri turut meliputi masyarakat Orang Asli apabila 40 unit lampu solar bernilai RM7,200 disumbangkan kepada empat kampung Orang Asli DUN Asahan, selain kit makanan bernilai RM13,500 diagihkan kepada 180 penerima.
Dalam bidang pendidikan pula, beliau berkata, sebanyak 10 unit Smart TV bernilai RM20,000 disumbangkan kepada 10 Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), manakala 30 unit komputer riba bernilai RM30,000 diberikan kepada anak-anak Asahan.
Katanya, sebuah unit kamera litar tertutup (CCTV) turut disumbangkan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Seri Murni FELDA Tun Ghaffar Bukit Senggeh bagi membantu meningkatkan aspek keselamatan pusat berkenaan.
“Kerajaan Negeri juga tidak melupakan anak-anak yang mengharumkan nama Melaka. Kita meraikan kejayaan Nurul Syasya Khairina Samsur, atlet angkat berat SUKMA Negeri Melaka yang berjaya menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen Melaka pada SUKMA 2026, dengan sumbangan penghargaan RM1,000,” katanya.
Ab Rauf berkata, usaha membantu rakyat turut meliputi aspek ekonomi apabila RM3,000 disumbangkan kepada Persatuan Usahawan Melayu Selandar, selain RM30,000 disediakan bagi pembelian alat bantu kesihatan seperti kerusi roda, katil dan tongkat untuk kegunaan warga Asahan.
Katanya, sebanyak RM10,000 turut disalurkan kepada 10 persatuan seni dan warisan DUN Asahan bagi terus memperkasa khazanah budaya tempatan, termasuk persatuan kompang, tarian singa, silambam dan silat.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, keperluan harian masyarakat turut diberi perhatian menerusi sumbangan kit makanan bernilai RM19,875, selain agihan 2,000 kampit beras secara percuma dan tawaran 2,000 ekor ayam mentah pada harga hanya RM5 seekor.
“Nilainya mungkin berbeza bagi setiap penerima. Tetapi bagi saya, nilai sebenarnya bukan terletak pada berapa besar nilai yang kita belanjakan, tetapi berapa besar maknanya yang dapat kita bawa ke dalam kehidupan rakyat.
“Inilah tekad Kerajaan Negeri yang sayangkan rakyat. Setiap keluhan kita sambut dengan ikhtiar, setiap keperluan kita susuli dengan tindakan dan setiap ruang yang ada kita manfaatkan untuk membawa kemajuan kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


