‘PEMIMPIN TIDAK BOLEH DUDUK ATAS KAYANGAN, KENA JENGUK RUPA PARAS BUMI’ – AB RAUF

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

ASAHAN 23 Ogos – “Seorang pemimpin, dia tidak boleh duduk atas kayangan. Orang kata dia tak tahu bumi ni bagaimana rupanya”.

Ungkapan itu mungkin kedengaran ringkas, namun di sebaliknya tersirat pendirian Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang membawa mesej tentang makna sebenar sebuah kepimpinan.

Bagi beliau, seorang pemimpin tidak akan benar-benar mengetahui keadaan rakyat sekiranya hanya melihat dari jauh atau berada dalam ruang selesa tanpa turun sendiri menyelami denyut nadi rakyat.

“Jadi bila saya datang, menjelajah masuk semua kampung, baru kita tahu bahawa perhatian kena diberikan kepada kita yang duduk kat kampung oleh pemimpin-pemimpin yang ada.

“Kalau tuan-tuan sudah ada seorang pemimpin, yang melihat bagaimana nak memerlukan perhatian kepada rakyat. Tak ada lain, seorang saja iaitu Along…. Fairul Nizam Roslan.

“Kalau tidak kerana bulan, tidak bintang terbit tinggi. Kalau tidak hebatnya dia ini sebagai tuan, takkan dibawa saya ke sini,” kata Ketua Menteri sambil menyampaikan pantun spontan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ziarah Kasih Rumah Puan Rosiah Mansur serta Penyerahan Projek Bina Baharu dan Baik Pulih Rumah bersempena siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Kampung Jus, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Datuk Ngwe Hee Sem dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Menurutnya, siri jelajah ke kampung-kampung bukan sekadar memenuhi jemputan atau menghadiri sesuatu acara, sebaliknya memberi ruang untuk melihat sendiri keadaan masyarakat termasuk mereka yang mungkin jarang mendapat perhatian.

Dalam suasana santai bersama penduduk, beliau turut mengingatkan wakil rakyat supaya tidak menjauhkan diri daripada masyarakat kerana tugas mereka sememangnya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Jangan malu jumpa wakil rakyat. Jangan takut hendak jumpa wakil rakyat sebab wakil rakyat pada zaman saya ni, dia bekerja untuk rakyat. Habis, kalau jadi wakil rakyat, hendak buat kerja untuk siapa ni? Kerja untuk rakyat. Begitulah, saya datang hari ni, saya tidak keseorangan, wakil rakyat-wakil rakyat yang bersama dengan saya ini ikut sekali,” katanya.

Sebagai Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf turut menegaskan komitmennya untuk memastikan agenda Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) terus diterjemahkan melalui perhatian dan keprihatinan terhadap masyarakat, khususnya mereka yang berada di kampung.

Pendekatan itu turut dizahirkan menerusi kunjungan beliau ke kampung berkenaan sebelum ini, termasuk melihat sendiri keadaan penduduk selepas kawasan terbabit sebelum ini berdepan penurunan paras air di empangan.

“Saya dapat datang Kampung Jus, hari itu saya datang tengok, air surut. Seram saya tengok, tapi Allah SWT pasti sayang pada kita, sekarang Alhamdulillah sudah elok. Kita dah dapat paras air yang boleh kita tidur lena,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

306
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI TURUN ASAHAN BUKAN DENGAN ‘TANGAN KOSONG’
Next post MELAKA TERUS PERKASA SEKTOR KOMUNITI, KESIHATAN