
RM450,000 BANTU RAKYAT ASAHAN DIAMI RUMAH LEBIH SELESA
ASAHAN 24 Ogos – Sebanyak 13 permohonan menerusi inisiatif Melaka Rumahku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan diluluskan sehingga tahun ini, membabitkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM450,000.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif Melaka Rumahku itu dilaksanakan di bawah Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bagi membantu golongan yang memerlukan, termasuk mereka yang tinggal di kediaman usang dan mengalami masalah kebocoran.
Katanya, kelulusan terbaharu DUN berkenaan membabitkan seorang penerima iaitu Rosiah Mansur yang menerima bantuan bernilai RM40,000 bagi kerja baik pulih kediamannya.
“Nilai rumah Makcik Rosiah yang disalurkan adalah sebanyak RM40,000 untuk kerja baik pulih tetapi kita tambah ruang tamu dan juga satu bilik bagi memenuhi keperluan kesihatannya dan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Ziarah Kasih Rumah Puan Rosiah Mansur serta Penyerahan Projek Bina Baharu dan Baik Pulih Rumah bersempena siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Asahan di Kampung Jus, di sini, pada Ahad.
Menurut Rais, pelaksanaan Melaka Rumahku bukan sekadar memberi tumpuan kepada kerja baik pulih rumah, sebaliknya turut mengambil kira keperluan khusus penerima bagi memastikan mereka dapat menikmati kediaman yang lebih selesa.
“Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih banyak kepada Ketua Menteri kerana inisiatif Melaka Rumahku inilah kita dapat membantu rakyat yang memerlukan, termasuk mereka yang tinggal dalam rumah yang usang dan bocor.
“Inilah platform yang paling baik untuk wakil rakyat di semua kawasan memastikan tidak ada mereka yang tinggal dalam rumah yang usang dan bocor sebelum disalurkan kepada pihak LPM untuk kita bantu, insya-Allah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


