17 DAS MERIAM BUKA TIRAI ISTIADAT PINGAT MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Dentuman 17 das tembakan meriam memecahkan suasana pagi di Seri Negeri, menandakan bermulanya Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2026 sempena Hari Jadi Ke-77 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Ketibaan Tun Dr. Mohd Ali bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman kira-kira 8.50 pagi disambut Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Azis serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Tun Dr. Mohd Ali kemudian menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Ke-14, Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize), Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan melibatkan tiga pegawai dan 103 anggota diketuai Mejar Mohd Aiman Mohd Halim.

Sementara itu tembakan kehormatan artileri melibatkan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) diketuai Mejar Hafizan Md Ghani.

Manakala pasukan pancaragam pula terdiri daripada seorang pegawai dan 34 anggota daripada Pusat Rejimen Renjer Diraja, Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur diketuai oleh Kapten Mohd Fahmy Harun.

Istiadat penganugerahan tahun ini berlangsung selama dua hari iaitu 24 dan 26 Ogos, membabitkan seramai 1,328 penerima daripada pelbagai latar belakang.

Penganugerahan berlangsung dalam tiga sesi, dengan sesi pertama bermula jam 9 pagi hingga tengahari, manakala dua sesi pada 26 Ogos masing-masing bermula jam 8 pagi dan 2 petang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

594
Kongsi :
Previous post RM450,000 BANTU RAKYAT ASAHAN DIAMI RUMAH LEBIH SELESA
Next post MELAKA SEDANG CIPTA MOMENTUM UNTUK RAKYAT