
MELAKA SEDANG CIPTA MOMENTUM UNTUK RAKYAT
SERI NEGERI 24 Ogos – Melaka bukan sekadar bergerak, tetapi sedang mencipta momentum, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, momentum pembangunan itu kini dapat dilihat menerusi prestasi ekonomi dan pencapaian pelaburan yang memberangsangkan, namun yang lebih penting ialah memastikan kemajuan tersebut benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut Ab Rauf, kestabilan pentadbiran, kesatuan kepimpinan serta bimbingan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam turut menjadi asas penting kepada kemajuan negeri yang semakin kukuh.
“Melaka bukan sekadar bergerak. Melaka sedang mencipta momentum. Dan momentum itu mesti kita pastikan terus sampai manfaatnya kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Taat Setia Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.
Ketua Menteri berkata, tanggal 24 Ogos membawa makna yang amat istimewa kepada Negeri Melaka kerana ia bukan sekadar hari meraikan ulang tahun kelahiran seorang Ketua Negeri, tetapi menjadi kesempatan untuk rakyat menzahirkan rasa kasih, hormat dan penghargaan terhadap sebuah institusi yang menjadi payung perpaduan, lambang kestabilan dan tonggak keharmonian negeri.
“Bagi kami, kepimpinan Tun sentiasa dekat dengan denyut nadi rakyat. Nasihat yang diberikan, pandangan yang disampaikan dan keprihatinan yang ditunjukkan menjadi pedoman kepada kami dalam menggalas amanah pentadbiran.
“Taat setia bukan sekadar lafaz yang diucapkan pada hari penuh istiadat. Taat setia diterjemahkan melalui amanah yang dilaksanakan, keharmonian yang dipelihara, rakyat yang disantuni dan negeri yang terus
kita majukan,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


