RM2.25 JUTA DISALUR MENERUSI JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Sebanyak RM2.25 juta telah disalurkan untuk pelbagai manfaat rakyat menerusi Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang kini memasuki siri ke-15 dengan menyantuni penduduk di 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu menjadi antara pendekatan Kerajaan Negeri untuk memastikan pentadbiran turun padang, mendengar sendiri permasalahan rakyat dan berusaha menyelesaikannya secara langsung di lapangan.

“Ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan bukan hanya berdasarkan pengiktirafan atau pencapaian yang diraih, sebaliknya bergantung kepada keupayaannya berkhidmat dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Taat Setia Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Tuan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Ab Rauf, selain Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) turut menjadi antara inisiatif santunan rakyat yang telah bermula sejak tahun lalu bagi mendengar serta menyelesaikan aduan rakyat.

“WRUR telah digerakkan di 25 kawasan DUN dan setakat ini merekodkan 4,306 aduan diterima dan 2,749 aduan bersamaan 64 peratus daripadanya telah berjaya diselesaikan,” katanya.

Ab Rauf berkata, pendekatan turun padang itu penting bagi memastikan isu yang dihadapi rakyat tidak hanya diketahui melalui laporan, sebaliknya dapat dilihat dan difahami sendiri oleh pentadbiran negeri.

“Saya percaya, rakyat hanya mahukan segala kesulitan dan aduan mereka didengar. Mereka hanya mahu longkang yang tersumbat dibersihkan, jalan kampung diperbaiki, lampu yang gelap dinyalakan, rumah yang rosak dibaik pulih dan suara mereka terus didengar.

“Bagi kita mungkin kecil. Namun bagi sebuah keluarga, itulah kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan akan terus menjadi sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri memastikan penyampaian perkhidmatan awam benar-benar dekat dengan keperluan dan kehidupan rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

420
Kongsi :
Previous post RUKUN NEGARA PERLU DIHAYATI, BUKAN SEKADAR LAFAZ IKRAR – TUN DR. MOHD ALI
Next post MAIM PASTIKAN KUTIPAN ZAKAT SAMPAI KEPADA GOLONGAN MEMERLUKAN