RUKUN NEGARA PERLU DIHAYATI, BUKAN SEKADAR LAFAZ IKRAR – TUN DR. MOHD ALI

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Rukun Negara tidak seharusnya sekadar dilafazkan sebagai ikrar, sebaliknya perlu benar-benar dihayati dan diterjemahkan dalam tindakan bagi memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat.

Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, penghayatan terhadap lima prinsip Rukun Negara amat penting dalam membentuk jati diri rakyat, khususnya ketika negara berdepan cabaran dan pengaruh negatif yang boleh menggugat perpaduan.

Menurutnya, Rukun Negara merupakan falsafah kebangsaan yang menjadi panduan dalam kehidupan bermasyarakat serta asas penting dalam membina sebuah negara bersatu padu, aman dan sejahtera.

“Sejak diperkenalkan, prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya telah menjadi panduan utama dalam membentuk jati diri rakyat serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Dalam era yang serba mencabar ini, penghayatan terhadap Rukun Negara amat penting sebagai benteng dalam menghadapi pengaruh negatif serta sebarang unsur yang boleh menggugat perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Tun Dr. Mohd Ali menyeru seluruh rakyat supaya memperkukuh iltizam untuk menjadikan Rukun Negara sebagai amalan dalam kehidupan seharian, bukan sekadar lafaz ketika majlis rasmi.

“Dengan semangat ini, saya yakin Negeri Melaka akan terus kekal sebagai sebuah negeri yang aman, harmoni, bersatu padu dan berdaya maju,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

256
Kongsi :
Previous post MESRA PASTIKAN RAKYAT BERADA DI TENGAH-TENGAH DASAR KERAJAAN
Next post RM2.25 JUTA DISALUR MENERUSI JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT