MESRA PASTIKAN RAKYAT BERADA DI TENGAH-TENGAH DASAR KERAJAAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 24 Ogos – Kerajaan Negeri terus meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap dasar dan keputusan yang dilaksanakan menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, prinsip berkenaan kekal menjadi teras pentadbirannya meskipun Melaka terus mengejar pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh pembangunan negeri.

“Dalam kita mengejar pertumbuhan ekonomi, satu prinsip yang dibawa di bawah pentadbiran saya tidak pernah berubah.

“Ia adalah Rakyat mesti sentiasa berada di tengah-tengah setiap dasar dan keputusan kerajaan. Itu adalah roh di bawah gagasan MeSRA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ucapan Taat Setia Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 Sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Ab Rauf, komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela turut dizahirkan menerusi usaha mengekalkan pencapaian sifar miskin tegar di negeri ini.

“Sebanyak RM525.2 juta diperuntukkan dalam tempoh tiga tahun bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Usaha menyantuni golongan memerlukan terus dilaksanakan secara berfokus agar tidak ada keluarga yang tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.

Jelas beliau, dalam sektor kesihatan pula, pendekatan Kerajaan Negeri melalui MeSRa terus diperkasakan dengan membawa perkhidmatan lebih dekat kepada rakyat iaitu MeSRA Ambulans.

“MeSRa Ambulans telah membantu lebih 13,000 pengguna, khususnya pesakit terlantar dan keluarga B40 yang memerlukan perkhidmatan dari pintu ke pintu.

“Malah melalui Paramedik Komuniti atau PARAKOM, seramai 1,683 warga Melaka telah berdaftar sebagai ahli selain lebih 350 kes kecemasan berjaya dikendalikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

325
Kongsi :
Previous post KDNK MELAKA MENINGKAT RM50.3 BILION PADA 2025
Next post RUKUN NEGARA PERLU DIHAYATI, BUKAN SEKADAR LAFAZ IKRAR – TUN DR. MOHD ALI