TUN DR. MOHD ALI SERU RAKYAT MELAKA PERBAHARUI ILTIZAM KEMERDEKAAN

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Rakyat Melaka diseru memperbaharui iltizam untuk terus memelihara kemerdekaan yang diwarisi daripada generasi terdahulu, terutama dengan menyemai kebebasan minda, kematangan pemikiran dan rasa tanggungjawab terhadap negara.

Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, kemerdekaan bukan sekadar kebebasan daripada penjajahan fizikal, sebaliknya perlu dipertahankan melalui penghayatan nilai serta tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan negara.

“Sempena Hari Kebangsaan ke-69 ini, saya menyeru kepada semua, marilah kita memperbaharui iltizam untuk terus memelihara kemerdekaan yang telah kita warisi.

“Kemerdekaan bukan hanya bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi juga merangkumi kebebasan minda, kematangan pemikiran dan tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Tun Dr. Mohd Ali, sambutan Hari Kebangsaan tidak seharusnya dilihat sekadar acara memperingati kemerdekaan, sebaliknya menjadi ruang untuk rakyat menghayati kembali pengorbanan pejuang tanah air yang berjuang membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan harapan agar Melaka sentiasa berada di bawah lindungan rahmat Allah SWT, dikurniakan keberkatan serta keamanan yang berpanjangan dan dijauhkan daripada sebarang musibah, bencana serta perkara yang tidak diingini.

“Semoga Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh akan terus maju dan berkembang pesat, seiring dengan pengukuhan sistem penyampaian perkhidmatan serta jentera pentadbiran negeri demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

455
Kongsi :
Previous post PDRM PERKETAT KAWALAN SEMPADAN SUSULAN KETEGANGAN DI SELATAN THAILAND
Next post DR. AKMAL HADIRI MUKTAMAR PEMUDA PAS 3 SEPTEMBER