PDRM PERKETAT KAWALAN SEMPADAN SUSULAN KETEGANGAN DI SELATAN THAILAND

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan susulan keadaan keselamatan yang semakin tegang di selatan Thailand.

Ia susulan berlaku beberapa siri letupan bom dan serangan serentak di tiga wilayah iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala yang menyaksikan pihak berkuasa Thailand mengeluarkan arahan perintah berkurung di kawasan terjejas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, langkah berkenaan diambil sebagai tindakan berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang sering berkunjung ke wilayah berkenaan terus terjamin.

Pada masa sama, beliau menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengurangkan pergerakan ke selatan Thailand dan mengelak daripada melintasi sempadan buat sementara waktu sehingga keadaan keselamatan kembali stabil.

“Kita mempertingkatkan kawalan di sempadan kerana kita khuatir, pertama sekali rakyat Malaysia yang sering kali berkunjung ke sana. Pada pandangan saya, dalam keadaan keselamatan yang agak tegang ini, lebih baiklah supaya rakyat kita mengurangkan pergerakan ke sana dan cuba mengelakkan pada waktu in,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Pada istiadat itu, Mohd Khalid dikurnia Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, PDRM terus memantau perkembangan keselamatan di kawasan sempadan dan meningkatkan rondaan dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, ujar beliau, setakat ini tiada laluan sempadan yang ditutup susulan perkembangan berkenaan.

“PDRM akan sentiasa menjalankan rondaan di kawasan sempadan dari semasa ke semasa sebagai langkah memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

381
Kongsi :
Previous post AYUH BEKERJA SEBAGAI SATU PASUKAN MELAKA
Next post TUN DR. MOHD ALI ALI SERU RAKYAT MELAKA PERBAHARUI ILTIZAM KEMERDEKAAN