
MELAKA RUMAHKU: 202 KEDIAMAN DIBAIK PULIH, DIBINA BAHARU
ASAHAN 26 Ogos – Sebanyak 101 rumah baharu dibina manakala 101 lagi kediaman dibaik pulih di seluruh Melaka menerusi inisiatif Melaka Rumahku dalam tempoh 2023 hingga 2026 membabitkan keseluruhan peruntukan lebih RM8 juta.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan di bawah Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Alhamdulillah, saya ucap terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana inisiatif Melaka Rumahku inilah kita telah berjaya membina keseluruhannya 101 buah rumah baharu dari tahun 2023 sehingga 2026.
“Selain itu, sebanyak 101 buah rumah juga telah kita baik pulih, jadi keseluruhan peruntukan yang telah Kerajaan Negeri belanjakan bernilai lebih RM8 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Ziarah Kasih Rumah Puan Rosiah Mansur serta Penyerahan Projek Bina Baharu dan Baik Pulih Rumah bersempena siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Asahan di Kampung Jus, di sini pada Ahad.
Menurut Rais, pelaksanaan inisiatif berkenaan memberi peluang kepada golongan yang memerlukan untuk mendapatkan kediaman yang lebih selesa, sama ada menerusi pembinaan rumah baharu mahupun kerja baik pulih rumah sedia ada.
Selain itu, katanya pendekatan berkenaan turut memberi perhatian kepada keadaan kediaman yang usang atau mengalami masalah kebocoran, sekali gus memastikan golongan kurang berkemampuan tidak terus tinggal dalam keadaan kediaman yang tidak sempurna.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


