
10 TAHUN HIDUP DALAM RUMAH SEMPIT, AKHIRNYA ADA RUANG UNTUK BERNAFAS
ASAHAN 26 Ogos – Selama kira-kira 10 tahun, rumah kecil yang dihuni Engku Azlinah Tengku Azhar, 40 bersama suami dan empat anak serta ibunya menjadi satu-satunya tempat mereka berlindung walaupun serba kekurangan.
Tiada ruang tamu untuk menerima tetamu manakala dapur yang mempunyai meja makan turut menjadi ruang berkumpul seisi keluarga.
Pintu utama rumah terpaksa ditutup kerana ruang di situ telah disimen dan diletakkan katil untuk dijadikan tempat tidur anak-anaknya yang berusia antara dua hingga 12 tahun.
“Kalau orang datang, masuk rumah terus nampak dapur dan meja makan. Itulah dapur, itulah ruang makan dan itulah tempat hendak bersantai kerana pintu depan saya simenkan untuk letak katil anak-anak,” katanya ketika ditemui di kediamannya bersempena siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Asahan di Kampung Jus, di sini pada Ahad.
Kini, keadaan itu bakal berubah apabila rumah berkenaan menerima kerja baik pulih menerusi Program Melaka Rumahku di bawah Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dengan penambahan sebuah ruang tamu dan satu bilik baharu bagi menampung keperluan tujuh sekeluarga.
Engku Azlinah berkata, dia tidak menyangka cadangan yang dikemukakan ketika kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan akhirnya membawa kepada bantuan berkenaan.
“Saya sebenarnya mohon untuk mak dan pada awalnya YB (Fairul Nizam) datang sendiri dan cadangkan rumah ini dibaiki. Kemudian pihak LPM datang dan saya baru tahu mengenai program ini.
“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada YB Fairul serta Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.
Menurutnya, ibunya, Rosiah Mansur, 60, yang tinggal bersama mereka mempunyai masalah kesihatan mental iaitu skizofrenia menyebabkan keluarga amat memerlukan ruang yang lebih sesuai.
Katanya, sebelum ini satu bilik digunakan bersama suami manakala satu lagi untuk ibunya, sementara empat anak berusia antara dua hingga 12 tahun berkongsi ruang yang ada.
Keadaan itu menyebabkan kehidupan seharian perlu diatur mengikut ruang yang tersedia, namun mereka tetap cuba menjalani kehidupan seperti biasa.
“Anak-anak pun terkejut dan seronok bila tahu rumah akan ada ruang tamu dan bilik baharu. Saya rasa bertuah dapat bantuan ini.
“Saya harap selepas ini mak lebih selesa dan anak-anak pun ada ruang untuk bergerak dan membesar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

