
68 LAMPU SOLAR TERANGI JALAN GELAP ASAHAN
ASAHAN 26 Ogos – Jalan-jalan gelap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan bakal diterangi 68 lampu solar yang bakal dipasang di beberapa laluan jalan negeri, sekali gus meningkatkan tahap pencahayaan dan keselamatan pengguna di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, kemudahan itu akan dipasang secara berperingkat di beberapa lokasi gelap yang telah dikenal pasti.
Jelas beliau, antara kawasan tersebut adalah Bukit Langsat, Kampung On Lok, selain beberapa laluan sekitar Pekan Asahan, Selandar dan Nyalas.
“Tahun ini, DUN Asahan menerima kelulusan 68 lampu solar di jalan negeri yang akan menyelesaikan banyak masalah kawasan gelap, sekali gus meningkatkan keselamatan di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta agensi dan jabatan yang terlibat kerana meluluskan pemasangan lampu solar yang memberi manfaat besar untuk warga Asahan dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah MeSRa Bersama Masyarakat sempena siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Asahan di Dataran Nyalas, Taman Nyalas Permai, di sini, pada Ahad.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, selain jalan negeri, Ketua Menteri turut prihatin dengan kemudahan kepada masyarakat Orang Asli DUN Asahan dengan sumbangan 40 lampu solar bernilai RM7,200.
Jelas beliau, sumbangan itu membabitkan 10 lampu solar bagi empat kampung Orang Asli dalam DUN berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

