
ENAM ANUGERAH KHAS BAKAL WARNAI SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT NEGERI PADA 29 OGOS INI
AYER KEROH 25 Ogos – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka akan diadakan bersekali dengan Majlis Melaka Berselawat Sempena Merdeka 2026 di Dataran Klebang pada 29 Ogos ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, sambutan itu bakal menyaksikan penyampaian enam anugerah khas sebagai pengiktirafan kepada masjid, surau dan institusi berkaitan.
Katanya, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan, menyaksikan penyampaian anugerah kepada penerima selain mengimarahkan lagi majlis akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
“Pada malam sambutan itu nanti Kerajaan Negeri akan menyampaikan enam anugerah khas Maulidur Rasul termasuk masjid terbaik, koperasi terbaik, surau kariah terbaik, tanah perkuburan terbaik serta pengiktirafan berkaitan pemilikan sijil halal dan beberapa anugerah lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Mahabbah Mahkamah Syariah Negeri Melaka 2026 di Perkarangan Mahkamah Syariah negeri, pada Khamis.
Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Azzeman Omar serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, penganjuran sambutan tersebut bukan sahaja menjadi platform memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, malah turut memberi penghargaan kepada institusi dan komuniti yang memainkan peranan dalam memperkukuh pengurusan hal ehwal Islam di negeri ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


