‘SETIAP HARI SAYA TUNGGU, TAK SABAR NAK PINDAH KE RUMAH BAHARU’

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

MACHAP JAYA 25 Ogos – Selepas sekian lama terbantut perancangan Ishak Alin, 65, memiliki kediaman sendiri menjadi kenyataan hasil keprihatinan Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Berkongsi kegembiraannya Ishak berkata, dia berasa amat teruja dan bersyukur selepas dimaklumkan terpilih sebagai penerima bantuan  Program Melaka Rumahku (Bina Baharu) hasil inisiatif dilaksanakan LPM.

“Setiap hari apabila melihat rumah yang semakin siap dibina saya berasa cukup gembira walaupun jauh di sudut hati terasa sebak.

“Sebelum ini saya tinggal bersama anak, namun mengambil keputusan pulang ke kampung dan berteduh di rumah pusaka. Niat di hati memang mahu bina rumah baharu agar lebih selesa tetapi hanya impian kerana kekangan kewangan.

“Alhamdulillah rumah baharu ini bukan untuk saya seorang sahaja tetapi semua ahli keluarga, siapa sangka rezeki dapat miliki rumah sendiri pada usia emas. Terima kasih Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan LPM kerana membantu merealisasikan hasrat saya untuk menghuni rumah sendiri,” katanya.

Bapa kepada dua anak itu ditemui pada Majlis Penyerahan Rumah Bina Baharu LPM yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, di Kampung Bukit Bulat, pada Ahad.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh;
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem; barisan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan lain-lain kenamaan.

Pesara tentera ini berkata, pembinaan rumah banarunya kini sudah mencapai 75 peratus dan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

482
Kongsi :
Previous post ENAM ANUGERAH KHAS BAKAL WARNAI SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT NEGERI PADA 29 OGOS INI