40 KEDIAMAN ORANG ASLI DUN MACHAP JAYA AKAN DIBAIK PULIH

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

MACHAP JAYA 25 Ogos – Sebanyak 40 buah kediaman masyarakat Orang Asli di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya bakal dibaik pulih secara berperingkat membabitkan peruntukan kira-kira RM800,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, kerja baik pulih kediaman yang dikenal pasti sudah uzur dan berada dalam keadaan tidak baik akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada tahun ini.

Katanya, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, telah memberi kelulusan supaya peruntukan Kerajaan Negeri digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih kediaman masyarakat Orang Asli yang memerlukan.

“Permohonan untuk kerja baik pulih bagi fasa pertama dan kedua sudah dihantar
dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat di tujuh kampung Orang Asli di DUN Machap Jaya.

“Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sememangnya mempunyai peruntukan untuk baik pulih kediaman namun amat terhad.

“Pada tahun ini hanya dua rumah baharu dan tidak sampai lima kediaman di dun Machap Jaya ini yang menerima peruntukan untuk baik pulih dari JAKOA,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata demikian pada ketika ditemui selepas Majlis Penutup Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat @DUN Machap Jaya yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Dewan Terbuka Kampung Baru Menggong, pada Ahad.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan lain-lain kenamaan.

Menurutnya, kos baik pulih setiap kediaman dianggarkan tidak melebihi RM20,000 bagi setiap unit.

“Dengan peruntukan dari Kerajaan Negeri ia secara tidak langsung dapat menyelesaikan isu kediaman uzur dalam kalangan masyarakat Orang Asli khususnya.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri amat cakna dan prihatin terhadap kebajikan setiap rakyat ini selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRA),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

544
Kongsi :
Previous post ‘SETIAP HARI SAYA TUNGGU, TAK SABAR NAK PINDAH KE RUMAH BAHARU’