MELAKA SIAP SIAGA HADAPI CUACA PANAS EKSTREM, JEREBU

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SERI NEGERI 26 Ogos – Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) bersiap siaga menghadapi kemungkinan cuaca panas ekstrem yang dijangka berlaku bulan depan dan berlarutan sehingga 2027, termasuk peningkatan risiko jerebu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, satu mesyuarat bersama agensi berkaitan akan diadakan pada September ini bagi membincangkan tahap kesiapsiagaan serta pelan tindakan menghadapi fenomena Super El Nino itu.

Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi memastikan semua agensi berkaitan, khususnya sektor kesihatan awam, berada dalam keadaan bersedia sekiranya berlaku peningkatan suhu atau kemerosotan kualiti udara di Melaka yang boleh menyebabkan penyakit berkaitan pernafasan dan gelombang haba.

“Memandangkan ada ramalan berkaitan cuaca panas yang ekstrem, di pihak Jabatan Kesihatan Negeri kita akan adakan satu mesyuarat pada September untuk membincangkan langkah dan kesiapsiagaan untuk rakyat Melaka.

“Kita memang berada dalam status bersedia kerana ini bukan kali pertama kita berdepan keadaan cuaca panas. Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sudah biasa menghadapinya dan akan melaksanakan tindakan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hee Sem berkata, setakat ini keadaan jerebu dan cuaca panas di Melaka masih berada pada tahap baik dan terkawal meskipun dua kawasan iaitu Alor Gajah dan Bukit Rambai dilaporkan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat semalam.

“Berbanding beberapa negeri lain yang sudah mencapai status bahaya, Melaka masih belum sampai ke tahap itu, tambahan pula kita menerima hujan awal pagi tadi,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini pihaknya juga belum menerima laporan berkaitan kemasukan pesakit ke hospital akibat jerebu atau penyakit pernafasan di Melaka.

Bagaimanapun, katanya, pemantauan akan terus dilakukan dan langkah sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku perubahan terhadap keadaan cuaca atau kualiti udara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

849
Kongsi :
Previous post TIGA CEDERA BAS DINAIKI TERBABAS ELAK LORI
Next post SUKMA: 21 PINGAT EMAS BUKTI ATLET MELAKA SEMAKIN ‘MENYALA’