SUKMA: 21 PINGAT EMAS BUKTI ATLET MELAKA SEMAKIN ‘MENYALA’

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

SERI NEGERI 26 Ogos – Kejayaan kontinjen Melaka meraih 21 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 membuktikan prestasi dan pembangunan atlet negeri itu semakin menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, pencapaian berkenaan sekali gus melepasi sasaran 20 pingat emas yang ditetapkan Melaka pada edisi kali ini.

Beliau yang juga Ketua Kontinjen (Chief de Mission) Melaka ke SUKMA 2026 berkata, kejayaan itu lebih bermakna apabila Melaka berjaya meningkatkan prestasi berbanding edisi 2024, meskipun berdepan pengurangan jumlah acara dan pingat yang dipertandingkan bagi beberapa jenis sukan.

“Sudah berapa tahun kita menantikan sasaran 20 pingat emas itu dan tahun ini kita berjaya melepasi sasaran dengan meraih 21 pingat emas.

“Pencapaian ini cukup membanggakan, lebih-lebih lagi apabila terdapat pengurangan pingat dalam beberapa sukan. Sebagai contoh, bagi sukan wushu, jumlah pingat yang dipertandingkan berkurang daripada 18 kepada 12 dan meskipun begitu, kita tetap berjaya menunjukkan peningkatan dalam sukan-sukan lain.

“Ini adalah hasil kerja keras semua persatuan sukan, atlet dan pihak yang terlibat dalam pembangunan sukan. Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh amat berbangga dengan kejayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Shanmugam berkata, antara sukan yang mencipta kejutan pada edisi SUKMA kali ini ialah olahraga wanita apabila atlet muda berusia 16 tahun, Tan Li Ren, berjaya memenangi pingat emas dalam acara 20,000 meter lumba jalan kaki wanita dengan catatan masa 1 jam 59 minit 41.45 saat, sekali gus memecahkan rekod kejohanan.

Selain itu, katanya, pencak silat turut mencipta kejutan apabila muncul juara keseluruhan edisi kali ini dengan meraih empat pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.

“Sebelum ini pencak silat hanya menyasarkan satu atau dua pingat, tetapi kali ini mereka berjaya menjadi juara keseluruhan bagi sukan tersebut.

“Ini menunjukkan peningkatan prestasi atlet Melaka yang semakin baik dan hasil pembangunan sukan yang kita laksanakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

530
Kongsi :
Previous post MELAKA SIAP SIAGA HADAPI CUACA PANAS EKSTREM, JEREBU
Next post AYDA JEBAT SEDIA JADI ‘DUTA’ PROMOSI MELAKA MELALUI KARYA SENI