
AYDA JEBAT SEDIA JADI ‘DUTA’ PROMOSI MELAKA MELALUI KARYA SENI
SERI NEGERI 26 Ogos – Pengiktirafan yang diterima daripada Kerajaan Negeri Melaka terus menyuntik semangat kepada penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat, untuk terus mengangkat nama negeri kelahirannya menerusi karya seni.
Menurutnya, pengiktirafan menerusi penganugerahan Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) itu disifatkan sebagai satu rezeki yang tidak pernah disangka.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat berkata, penglibatannya dalam aktiviti seni yang membawa nama Melaka sebelum ini dilakukan dengan penuh keikhlasan tanpa pernah menyimpan harapan untuk menerima sebarang pengiktirafan.
“Sebenarnya rasa macam mimpi kerana apabila saya mula bergiat dalam bidang seni untuk Negeri Melaka, saya tidak pernah menyimpan sebarang harapan atau niat untuk mendapatkan pingat.
“Terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di atas penganugerahan ini yang menjadi antara kenangan manis untuk saya.
“Selepas ini, Insya-Allah akan ada lagu-lagu yang kita rakamkan di tempat-tempat menarik di Melaka. Saya sendiri mahu meneroka lebih banyak lokasi menarik untuk dijadikan sebahagian daripada karya seni saya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 Sesi 2 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai karya seninya yang pernah mempromosikan Melaka, Ayda berkata, video muzik lagu Pencuri Hati versi dangdut yang dirakam di sekitar Bangunan Merah, Banda Hilir antara karya yang paling membanggakan dirinya apabila meraih lebih 20 juta tontonan di platform YouTube.
“Mungkin ramai yang tidak tahu klip video lagu itu dirakam di Bangunan Merah dan bagi saya, itu satu perkara yang membanggakan kerana apa yang penting, ada Negeri Melaka dalam karya itu,” katanya.
Dalam pada itu, Ayda turut menyimpan hasrat untuk mengadakan konsert di Melaka sebagai hadiah istimewa kepada negeri kelahirannya serta peminat yang tidak jemu menyokong perjalanan seninya.
“Jika ada rezeki, kenapa tidak kita adakan konsert di Melaka, mungkin konsert untuk anak-anak Melaka tetapi saya perlu berbincang dengan suami dahulu.
“Kita akan usulkan perkara ini, namun persiapan rapi perlu dilakukan kerana saya mahu memberikan yang terbaik. Semoga hasrat ini mendapat kelulusan Ketua Menteri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

