
PPSPM SEDIA 33 BOT, SASAR 10,000 PENGUNJUNG 31 OGOS INI
SERI NEGERI 26 Ogos – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyediakan 33 buah bot bagi menampung sasaran 10,000 pengunjung sempena inisiatif kemasukan percuma ke tiga produk pelancongan kendaliannya pada 31 Ogos ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, persediaan itu membabitkan 30 bot bagi produk Melaka River Cruise di Sungai Melaka, sebuah bot bagi Eco Cruise Tasik Chinchin dan dua bot lagi bagi Eco Cruise Sungai Linggi di Paya Lebar.
Menurutnya, persediaan berkenaan dilakukan bagi memastikan kelancaran operasi serta keselesaan pengunjung yang dijangka membanjiri produk pelancongan berkenaan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Kemasukan percuma ini merupakan hadiah daripada Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia menikmati produk pelancongan secara percuma.
“Kita sasarkan seramai 10,000 pengunjung akan menikmati produk pelancongan percuma di bawah PPSPM iaitu Melaka River Cruise, Eco Cruise Tasik Chinchin dan Eco Cruise Sungai Linggi bermula jam 9 pagi hingga 5 petang pada 31 Ogos ini.
“Jadi, kepada warga Melaka dan rakyat Malaysia, ambillah kesempatan ini untuk datang serta menikmati produk pelancongan kita secara percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 Sesi 2 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.
Pada istiadat itu, Shaharul Azuar dikurniakan Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) yang diberikan kepada pegawai kanan kerajaan dan orang perseorangan yang telah berbakti serta memberi perkhidmatan baik kepada Negeri Melaka.
Dalam pada itu, Shaharul Azuar berkata, PPSPM turut memperkukuhkan kesiapsiagaan dari aspek tenaga kerja dengan kira-kira 150 kakitangan akan bertugas bagi memastikan operasi berjalan lancar.
“Kita bersedia dengan memastikan semua bot dalam keadaan baik, selain turut memberi fokus kepada perkhidmatan pelanggan yang terbaik bagi melayani kebanjiran pengunjung yang dijangka datang ke Melaka pada 31 Ogos ini,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang berbelanja RM70 dan ke atas di Melaka River Cruise juga berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah dengan nilai keseluruhan RM100,000, termasuk hadiah utama berupa sebuah kereta Proton Bezza.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


