PELAJAR KOLEJ KOMUNITI MAUT MOTOSIKAL BERTEMBUNG AMBULANS

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

JASIN 26 Ogos – Seorang pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah ambulans swasta di simpang tiga lampu isyarat Kampung Air Merbau, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.35 pagi itu, Muhammad Amirul Asyraaf Md Azizan, 18, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jasin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Jasin menghala ke Bemban, manakala ambulans terbabit pula dari arah Ayer Merbau menghala ke Klinik Kesihatan Jasin.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa bertembung dengan ambulans yang dipandu lelaki berusia 41 tahun, bersama seorang pembantu perubatan berusia 24 tahun dan seorang pesakit lelaki warga emas berusia 81 tahun.

“Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah di bahagian kepala, tangan dan kaki sebelum dibawa ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan di Zon Merah.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira jam 10.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Lee Robert berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan pemandu ambulans patah tangan, manakala pembantu perubatan mengalami kecederaan di bahagian lutut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas ambulans berkenaan keluar dari simpang ketika lampu isyarat berwarna merah.

“Polis turut memperoleh rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada kenderaan yang berada di belakang ambulans bagi membantu siasatan.

“Pemandu ambulans akan dibawa menjalani ujian air kencing selain pengambilan sampel darah bagi mengesan kehadiran alkohol dan dadah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1674
Kongsi :
Previous post PPSPM SEDIA 33 BOT, SASAR 10,000 PENGUNJUNG 31 OGOS INI
Next post KETUA FOTO, WARTAWAN MHI TERIMA PINGAT JASA KEBAKTIAN