50,000 DIJANGKA SERBU KARNIVAL ANAK MUDA MELAKA 4 HINGGA 6 SEPTEMBER INI

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

SERI NEGERI 27 Ogos – Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 4 hingga 6 September ini menyasarkan kehadiran 50,000 belia dan masyarakat dari dalam serta luar Melaka.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, penganjuran karnival berkenaan menjadi platform menghimpunkan golongan muda daripada pelbagai latar belakang menerusi pelbagai aktiviti termasuk sukan, pendidikan, kerjaya, automotif dan rekreasi.

Menurutnya, program berkenaan turut dirangka untuk memastikan semua lapisan masyarakat dapat mengambil bahagian tanpa mengira usia, sekali gus menjadikannya platform terbaik untuk interaksi antara pemimpin dan rakyat, khususnya golongan muda.

“Karnival Anak Muda yang bakal dianjurkan pada 4, 5 dan 6 September ini membawa harapan baharu apabila kita akan menghimpunkan anak muda bukan sahaja menerusi sukan dan permotoran, malah pelbagai pertandingan serta acara mengikut segmen.

“Ia merangkumi program untuk segenap lapisan masyarakat dan saya berharap anak Melaka sama ada yang berada di dalam atau luar negeri ini dapat hadir untuk menjayakan program yang dihasilkan daripada cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, pada Rabu.

Shanmugam berkata, antara pengisian utama karnival itu termasuk sesi town hall, himpunan bermotosikal serta pelbagai aktiviti dalam dan luar dewan yang melibatkan golongan muda dan masyarakat umum.

Katanya, karnival berkenaan turut menyediakan 20,000 helai baju-T khas untuk diagihkan kepada peserta serta kira-kira 2,000 topi keledar eksklusif Negeri Melaka sebagai hadiah cabutan bertuah.

“Untuk pendaftaran, kita akan menyediakan kod QR yang akan diedarkan kepada semua Japerun dan pendaftaran boleh dibuat melalui Japerun masing-masing tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran karnival itu bermatlamat untuk mengiktiraf golongan muda yang turut memainkan peranan penting dalam agenda pembangunan negeri.

“Ini juga satu bentuk pengiktirafan Kerajaan Negeri Melaka kepada anak muda dan kita mahu mereka mengenali pemimpin serta melihat sendiri ruang dan peluang yang disediakan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga meneruskan usaha Kerajaan Negeri dalam memberi ruang kepada golongan muda untuk terlibat secara langsung dalam agenda pembangunan negeri, termasuk menerusi program Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia juga akan terlibat dalam program town hall, di mana mereka bersama anak muda yang lain berpeluang untuk berinteraksi dan menyuarakan pandangan secara lebih dekat dengan kepimpinan negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

703
Kongsi :
Previous post MELAKA SHOWCASE ANGKAT JENAMA 64 USAHAWAN KE PASARAN KL
Next post WIFI PERCUMA: KAMPUNG ORANG ASLI TIDAK TERPINGGIR DARIPADA ARUS PENDIGITALAN