MELAKA SHOWCASE ANGKAT JENAMA 64 USAHAWAN KE PASARAN KL

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Seramai 64 usahawan Melaka diberi peluang memperluas pasaran dan meningkatkan jualan menerusi penganjuran Melaka Showcase 2026 yang berlangsung selama tiga hari sehingga 28 Ogos ini di Medan MARA, Kuala Lumpur.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penganjuran berkenaan menjadi platform strategik bagi membantu usahawan tempatan meningkatkan keterlihatan jenama, menjana jualan serta memperluas rangkaian pelanggan dan jaringan perniagaan.

Katanya, program anjuran MARA Negeri Melaka itu menghimpunkan 55 usahawan makanan dan minuman serta sembilan usahawan gaya hidup menerusi 70 reruai pameran.

“Melalui penganjuran Melaka Showcase 2026, usahawan yang terlibat berpeluang meningkatkan keterlihatan jenama, menjana jualan, memperluaskan rangkaian pelanggan serta membina jaringan perniagaan dengan pihak industri dan bakal rakan niaga.

“Program ini juga menjadi platform untuk mengetengahkan produk dan keunikan usahawan Melaka kepada masyarakat serta pasaran di Kuala Lumpur,” katanya selepas menyempurnakan Pameran dan Jualan Usahawan Melaka Showcase 2026 di Medan MARA, di sini, pada Rabu.

Pada majlis itu, Dr. Asyraf Wajdi turut melancarkan aplikasi ‘M Showcase’, iaitu sebuah aplikasi digital yang dibangunkan khas sebagai platform pesanan digital yang menghubungkan pelanggan secara terus dengan usahawan Melaka Showcase.

Beliau berkata, aplikasi yang dibangunkan MARA Melaka itu dicadang akan diperluaskan penggunaannya bagi penganjuran program seumpama itu di negeri-negeri lain selepas ini.

“Saya amat berbangga dengan inisiatif yang dibawa oleh MARA Melaka kerana aplikasi ini bukan sahaja memudahkan pelanggan, malah dilengkapi fungsi merekod serta memantau jualan.

“Inisiatif ini boleh menjadi contoh dan diperluaskan penggunaannya bagi membantu penganjuran program usahawan MARA di negeri-negeri lain,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Melaka Showcase 2026 turut mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penghasilan pulut kuning berbentuk keris sepanjang 10 meter.

Katanya, karya kulinari berkenaan bukan sahaja mengetengahkan kreativiti usahawan, malah mengangkat keris sebagai lambang warisan, jati diri dan identiti budaya Melayu selari dengan semangat Sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

594
Kongsi :
Previous post SEMBILAN BERADIK YATIM PIATU, MAIM PASTIKAN KEBAJIKAN TERJAMIN
Next post 50,000 DIJANGKA SERBU KARNIVAL ANAK MUDA MELAKA 4 HINGGA 6 SEPTEMBER INI