PINGAT KHIDMAT LAMA IKTIRAF JASA ‘PENJAGA’ PARIT DAN SALIRAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 28 Ogos – Lebih 23 tahun menabur bakti bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjadikan Mohamad Saleh Mamat, 59, cukup memahami perubahan tugas β€˜di sebalik tabir’ dalam memastikan sistem parit dan saliran di Melaka sentiasa berada pada tahap baik.

Bermula ketika kemudahan serta peralatan kerja masih terhad, Mohamad Saleh melalui pengalaman melakukan kerja-kerja penyelenggaraan secara manual sebelum menyaksikan penggunaan teknologi dan mesin moden yang kini banyak membantu tugasan harian.

Atas khidmat baktinya itu, dia dipilih antara penerima Pingat Khidmat Lama (P.K.L) sempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Mohamad Saleh berkata, tugas yang dilaluinya sepanjang lebih dua dekad berkhidmat tidak semudah seperti sekarang, terutama dalam kerja pembersihan dan penyelenggaraan parit serta saliran.

“Dahulu memang susah kerana banyak kerja dilakukan secara manual. Peralatan pun kurang dan kalau hendak membersihkan longkang, kita menggunakan sabit, cangkul dan peralatan lain.

“Sekarang Alhamdulillah, semuanya semakin moden. Banyak kerja sudah menjadi lebih mudah menggunakan mesin dan peralatan yang lebih baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, meskipun tugasan berkenaan mungkin tidak begitu kelihatan oleh masyarakat, peranan JPS amat penting terutama dalam memastikan sistem saliran berada dalam keadaan baik bagi membantu menangani masalah banjir ketika hujan lebat.

“Peranan JPS sangat besar untuk negeri Melaka, terutama apabila hujan. Kita perlu menjaga kawasan-kawasan yang berisiko banjir dan memastikan saliran berada dalam keadaan baik. Ini memang menjadi tanggungjawab kita dan kita cuba buat yang terbaik,” katanya.

Bagi Mohamad Saleh, pengiktirafan yang diterima bukan sekadar penghargaan terhadap tempoh perkhidmatan, sebaliknya menjadi tanda bahawa usaha dan sumbangan kakitangan di lapangan turut dihargai.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka atas pengiktirafan yang diberikan dalam menghargai individu yang banyak berjasa kepada negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

891
Kongsi :
Previous post PANTAI SIRING BAKAL JADI β€˜PERMATA’ PELANCONGAN PESISIR SELATAN MELAKA
Next post KELUARGA NELAYAN DI SERKAM DAPAT HADIAH PALING BERMAKNA