
KELUARGA NELAYAN DI SERKAM DAPAT HADIAH PALING BERMAKNA
SERKAM 28 Ogos – Selepas tujuh tahun menetap di rumah sewa, impian Kharon Tahir, 63, untuk memiliki kediaman sendiri bersama keluarga akhirnya bakal menjadi kenyataan.
Kharon dari Kampung Tedong Pantai merupakan antara dua penerima kelulusan pembinaan rumah baharu di bawah Program PROSPEK DUN Serkam menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam.
Bagi Kharon, berita itu cukup bermakna selepas sekian lama keluarganya membayar RM300 sebulan untuk rumah sewa sebagai tempat berteduh bersama suami, tiga anak dan lima cucu.
“Syukur Alhamdulillah, memang sangat gembira bila dapat tahu akan dapat rumah baharu.
“Suami bekerja sebagai nelayan, manakala saya suri rumah. Saya juga sudah tidak dapat bekerja selepas ibu jari kaki kiri dipotong pada 2024 akibat kencing manis.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri Melaka kerana memberi sumbangan rumah ini. Dapatlah kami tinggal di rumah sendiri yang lebih selesa selepas ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Kharon berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kelulusan Projek Bina Baharu dan Baik Pulih Rumah sempena jelajah berkenaan yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kampung Tedong Pantai, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Siti Jariah Amat, 43, dari Umbai, turut melahirkan rasa syukur apabila kelulusan pembinaan rumah baharu itu memberi sinar baharu kepada keluarganya selepas hampir 10 tahun menetap di rumah sewa.
Katanya, kediaman sendiri kelak bukan sahaja memberi keselesaan kepada lima anaknya, malah membolehkan keluarganya menjimatkan RM300 sebulan yang sebelum ini digunakan untuk membayar sewa.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri atas sumbangan rumah ini. Program seperti ini bagus kerana dapat membantu rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

