TOK RAUF BERAZAM BINA ‘TITIAN KEJAYAAN’ UNTUK ANAK MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

SERKAM 27 Ogos – Kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh terus memberi tumpuan kepada usaha membina masa depan generasi muda menerusi penyediaan pelbagai peluang dan kemudahan yang mampu menjadi ‘titian kejayaan’ kepada anak-anak Melaka.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri komited memastikan segala perancangan dan pembangunan yang dilaksanakan hari ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat semasa, malah menjadi asas kukuh untuk generasi akan datang membina kehidupan yang lebih baik.

Beliau berkata, usaha itu diibaratkan seperti membina jambatan untuk membantu anak-anak Melaka melangkah ke alam nyata selepas menamatkan alam persekolahan.

“Anak-anak, kami sebagai anggota pentadbiran akan buat sebaik mungkin untuk menjadikan Melaka sebagai negeri terbaik.

“Kita mahu bina jambatan kejayaan untuk anak-anak melintasinya apabila mereka berada di alam nyata. Kita berazam menyediakan jambatan atau titian untuk anak-anak supaya mereka berjaya pada masa depan, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Santai Bersama Warga Pendidik Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari serta lain-lain kenamaan.

Menurutnya, kejayaan anak-anak bukan hanya terletak pada pencapaian akademik, sebaliknya mereka perlu dibentuk menjadi insan yang mempunyai kerjaya, berakhlak dan mampu memberi manfaat kepada keluarga serta masyarakat.

“Semoga anak-anak di sini berjaya baik dalam pendidikan mahupun kerjaya dan menjadi insan yang berguna kepada ibu bapa dan masyarakat.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut menyifatkan guru sebagai insan mulia yang memainkan peranan besar dalam membentuk jiwa dan masa depan generasi muda.

Katanya, pengorbanan guru yang memilih bidang pendidikan sebagai jalan untuk melahirkan insan berjaya wajar dihargai dan dikenang sepanjang hayat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Kongsi :
Previous post ENAM RESOLUSI JADI KERANGKA KAMPUNG DIGITAL MELAKA 2.0
Next post BN MELAKA KEKAL PENDIRIAN PERTAHAN 21 KERUSI – AB RAUF