ENAM RESOLUSI JADI KERANGKA KAMPUNG DIGITAL MELAKA 2.0

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

GADEK 27 Ogos – Enam resolusi dicapai pada Bengkel Penjajaran Hala Tuju Kampung Digital Melaka membentuk kerangka tindakan menyeluruh bagi Kampung Digital Melaka 2.0.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia melibatkan pengukuhan mandat dan tadbir urus kepada penyelarasan data, pembangunan infrastruktur, keselamatan komuniti serta pengembangan ekonomi digital.

Katanya, resolusi pertama adalah pengukuhan mandat dasar dan punca kuasa negeri dengan memperakukan Kampung Digital 2.0 sebagai infrastruktur data alamat strategik negeri, disokong oleh pembentukan Dasar Digital Melaka serta penelitian terhadap keperluan Enakmen Digital Melaka.

Kedua katanya, melibatkan pemantapan struktur tadbir urus dan pelaksanaan model operasi melalui pembahagian peranan yang jelas antara kerajaan negeri, agensi peneraju dan entiti pengoperasian, termasuk memuktamadkan struktur organisasi serta matriks tanggungjawab.

“Ketiga pemerkasaan sumber rujukan tunggal dengan menjadikan Kampung Digital Melaka sebagai ‘Single Source of Truth’ bagi data alamat, geospatial dan premis di seluruh Negeri Melaka menjelang tahun 2030 hingga 2035;

“Keempat pula hab data perpusat ‘Application Programming Interface’ (API) dan inovasi pintar menerusi pembangunan Hab Integrasi Data Negeri dan portal pertukaran alamat ‘Tell Us Once’, teknologi kecerdasan buatan geospatial atau GeoAI, bersama pembinaan dashboard geospatial pintar Smart Geospatial Dashboard, serta visualisasi model Digital Twin Kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Penjajaran Hala Tuju Kampung Digital Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inivasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Saiful Hazwa Kipli.

Resolusi kelima pula katanya, adalah berkaitan keselamatan komuniti, tindak balas kecemasan dan inklusiviti dengan membangunkan lapisan data kemudahan kecemasan, penyelarasan lorong serta akses kampung dan pemantauan CCTV pintar di kawasan berisiko tinggi.

“Keenam adalah kelestarian kewangan dan transformasi ekonomi digital melalui penerokaan model pengkomersialan perkhidmatan data bukan peribadi, pelesenan dan Application Programming Interface berbayar, di samping memperluas penyertaan usahawan kampung dalam pembayaran tanpa tunai, e-dagang, Smart Tourism Village dan sebagainya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

272
Kongsi :
Previous post KAMPUNG DIGITAL: BUKTI MELAKA BERANI JADI PENCETUS PEMBAHARUAN
Next post TOK RAUF BERAZAM BINA ‘TITIAN KEJAYAAN’ UNTUK ANAK MELAKA