KHIDMAT UNTUK RAKYAT TIDAK BERNOKTAH, TIDAK KIRA MUSIM – KM

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

SERKAM 27 Ogos – Khidmat Kerajaan Negeri Melaka kepada rakyat tidak pernah bernoktah dan tidak dilaksanakan mengikut musim, tegas Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, komitmen kerajaan untuk turun padang mendengar suara serta menyelesaikan permasalahan rakyat akan terus dilaksanakan tanpa mengira sama ada pilihan raya semakin hampir atau sebaliknya.

“Kerajaan yang mentadbir hari ini tidak bekerja mengikut musim. Khidmat kita kepada rakyat tidak pernah berhenti, tidak pernah bernoktah, apatah lagi hanya bermula apabila pilihan raya semakin dekat.

“Budaya merakyatkan pentadbiran bukan baru kita mulakan hari ini. Sejak saya bersama kepimpinan kerajaan diberi amanah menerajui negeri ini, kita pecahkan tembok birokrasi menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam di Dewan Sri Umbai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Datuk Zaidi Attan; Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, pentadbiran beliau turut membuka ruang kepada rakyat untuk bertemu secara langsung dengan kepimpinan negeri menerusi Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT), selain pelbagai inisiatif lain yang dilaksanakan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih dekat dengan rakyat.

Katanya, pendekatan itu selari dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat yang menjadi pegangan pentadbiran negeri dalam memastikan kebajikan dan kepentingan keseluruhan 1.05 juta rakyat Melaka sentiasa diberi perhatian.

“Inilah pegangan yang kita bawa melalui gagasan Melaka Sayang Rakyat. Saya tidak mahu seorang pun daripada 1.05 juta rakyat Melaka tercicir daripada perhatian kerajaan,” katanya.

Ab Rauf berkata, pegangan itu turut digerakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Datuk Zaidi Attan yang bekerja siang dan malam, turun padang demi memastikan suara lebih 26,000 penduduk DUN Serkam terus diberi perhatian.

Katanya, budaya mendekati rakyat itu akan terus diperkasakan bagi memastikan setiap aduan, keperluan dan aspirasi rakyat mendapat perhatian serta tindakan sewajarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

337
Kongsi :
Previous post BN MELAKA KEKAL PENDIRIAN PERTAHAN 21 KERUSI – AB RAUF
Next post JELAJAH KETUA MENTERI BUKAN SEKADAR SINGGAH, BAWA SINAR BUAT RAKYAT SERKAM