JELAJAH KETUA MENTERI BUKAN SEKADAR SINGGAH, BAWA SINAR BUAT RAKYAT SERKAM

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

SERKAM 27 Ogos – Daripada rumah yang uzur kepada anak-anak yang mengejar cita-cita, pelbagai denyut nadi rakyat Serkam menjadi perhatian Kerajaan Negeri menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat siri ke-16.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menegaskan setiap siri jelajah itu perlu memberi manfaat nyata kepada rakyat, bukan sekadar kunjungan atau program bersifat seremonial.

Beliau berkata, menerusi jelajah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam kali ini, Kerajaan Negeri membawa pelbagai inisiatif dan sumbangan bernilai keseluruhan RM150,000 yang disalurkan terus kepada golongan memerlukan, institusi pendidikan, usahawan serta komuniti setempat.

Menurut Ab Rauf, antara bantuan yang disalurkan termasuk RM12,000 kepada 12 sekolah terdiri daripada 10 sekolah rendah dan dua sekolah menengah bagi membantu keperluan pendidikan.

Katanya, kerajaan turut menyediakan sumbangan RM27,600 kepada anak-anak Serkam yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain RM10,000 secara one-off kepada 50 pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Dalam usaha memperkukuh ekonomi rakyat pula, sebanyak RM34,000 disalurkan kepada 10 usahawan menerusi Dana PROSPEK DUN Serkam, selain RM4,000 kepada Persatuan Nelayan membabitkan empat jeti nelayan.

“Inilah hasil yang saya mahu lahirkan daripada setiap jelajah. Daripada rumah yang uzur, kita usahakan yang lebih selamat; daripada keperluan yang kita lihat, kita cari jalan penyelesaian dan daripada setiap persinggahan, biarlah ada perubahan yang boleh dirasai rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Serkam di Dewan Sri Umbai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Datuk Zaidi Attan; Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak RM20,000 turut disalurkan kepada Anggota Kumpulan Pelaksana, petugas kebersihan dan pengawal keselamatan sekolah, manakala RM7,500 diberikan kepada petugas kebersihan SWCorp dan pekerja Perbadanan Melaka Holdings.

Ketua Menteri berkata, bantuan turut disalurkan kepada Klinik Kesihatan Umbai, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Nur Ehsan dan Sukarelawan DUN Serkam dengan jumlah RM20,000.

“Selain itu, seramai 50 penerima pula menerima sumbangan tunai dengan nilai keseluruhan RM5,000 berserta kit makanan, selain 500 kampit beras diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

“Bagi meringankan beban keluarga terjejas akibat banjir, seramai 137 mangsa banjir turut menerima bantuan dengan nilai keseluruhan melebihi RM41,000,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

299
Kongsi :
Previous post KHIDMAT UNTUK RAKYAT TIDAK BERNOKTAH, TIDAK KIRA MUSIM – KM
Next post RM1.1 JUTA BINA, BAIK PULIH 31 RUMAH WARGA SERKAM