
RM1.1 JUTA BINA, BAIK PULIH 31 RUMAH WARGA SERKAM
SERKAM 27 Ogos – Sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan bagi pembinaan lapan rumah baharu dan kerja-kerja baik pulih 23 rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, sebagai usaha Kerajaan Negeri memastikan keluarga yang memerlukan menikmati kediaman lebih selamat dan selesa.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu antara khabar gembira yang dibawa menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat siri ke-16, selain pelbagai bantuan dan inisiatif lain yang disalurkan kepada warga Serkam.
Beliau berkata, usaha berkenaan mencerminkan hasil yang mahu dilahirkan daripada setiap siri jelajah, iaitu bukan sekadar turun bertemu rakyat, tetapi mengenal pasti keperluan dan mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.
“Inilah hasil yang saya mahu lahirkan daripada setiap jelajah. Daripada rumah yang uzur, kita usahakan yang lebih selamat,” katanya ketika berucap pada penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Serkam di Dewan Sri Umbai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Datuk Zaidi Attan; Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, pendekatan turun padang seperti itu membolehkan Kerajaan Negeri melihat sendiri keperluan rakyat, termasuk keluarga yang berdepan masalah kediaman yang memerlukan perhatian segera.
“Daripada keperluan yang kita lihat, kita cari jalan penyelesaian dan daripada setiap persinggahan, biarlah ada perubahan yang boleh dirasai rakyat.
“Insya-Allah, selagi amanah ini dipikul, selagi itulah saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus turun, terus bekerja dan terus berkhidmat demi rakyat, untuk rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


