
PANTAI SIRING BAKAL JADI ‘PERMATA’ PELANCONGAN PESISIR SELATAN MELAKA
SERKAM 28 Ogos – Pantai Siring bakal ditransformasi sebagai destinasi pelancongan baharu di pesisir selatan Melaka menerusi pembangunan secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun dengan anggaran nilai keseluruhan projek sekitar RM200 juta.
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, pembangunan berkenaan dirancang bagi menghidupkan semula potensi kawasan Pantai Siring sekali gus mewujudkan produk pelancongan baharu yang mampu menjadi tarikan kepada pelancong.
Katanya, projek itu kini berada pada peringkat kajian termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) dan penilaian impak ekonomi sebelum pembangunan fizikal dilaksanakan.
“Segmennya sudah bermula. Kita sudah selesai dengan pengambilan tanah dan sekarang kita sedang buat kajian, termasuk EIA. Pembangunan ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan kita mahu memastikan perancangannya benar-benar teratur sebelum kerja fizikal dimulakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Sri Umbai, di sini, pada Khamis.
Zaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam berkata, pembangunan itu antara lain merangkumi pembinaan laluan baharu dari Kampung Pulai ke Pantai Siring, kerja penambakan bagi mewujudkan pantai baharu serta pembangunan rumah kedai yang lebih tersusun.
Katanya, pembesaran laluan berkenaan dianggarkan menelan kos kira-kira RM42 juta bagi meningkatkan akses ke kawasan Pantai Siring.
Menurut Zaidi, cadangan penambakan bagi mewujudkan pantai baharu itu masih dalam kajian, khususnya berkaitan keluasan kawasan serta implikasi kewangan.
Katanya, walaupun kos keseluruhan projek dianggarkan sekitar RM200 juta, jumlah sebenar hanya dapat dimuktamadkan selepas kajian berkaitan penambakan dan komponen pembangunan lain selesai.
“Pembangunan secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun ini akan memberi ruang kepada kerajaan memastikan setiap komponen dilaksanakan berdasarkan keperluan, kemampuan serta kesesuaian kawasan.
“Projek ini juga dijangka memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat apabila Pantai Siring dibangunkan sebagai sebahagian daripada rangkaian produk pelancongan pesisir selatan Melaka,” ujarnya.
Menurut beliau, apabila siap kelak Pantai Siring bukan lagi sekadar menjadi kawasan persisiran pantai, tetapi menjadi satu lagi produk pelancongan yang boleh dibanggakan dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


