MELAKA MENUJU ‘NO MICROWAVE POLICY’, BERALIH KE GENTIAN OPTIK

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

SERI NEGERI 28 Ogos – Melaka sedang bergerak ke arah pelaksanaan ‘No Microwave Policy’ dengan memperluas penggunaan gentian optik berkapasiti tinggi sebagai tulang belakang rangkaian telekomunikasi negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH), Dr. Nazdiana Ab Wahab berkata, peralihan daripada teknologi gelombang mikro (microwave) kepada gentian optik itu penting bagi meningkatkan kapasiti, kelajuan dan kestabilan rangkaian internet di seluruh negeri.

Menurutnya, sasaran berkenaan akan diperkukuh menerusi peningkatan kadar menara telekomunikasi milik MICTH yang dilengkapi rangkaian gentian optik daripada kira-kira 40 peratus kepada 80 peratus dalam tempoh lima tahun.

β€œHarapan kita apabila telah menyediakan sambungan gentian optik berkapasiti tinggi di 80 peratus menara telekomunikasi ini, kita akan bergerak ke arah dasar No Microwave Policy di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pertukaran Perjanjian Kerjasama Strategik: Fiberisasi Menara Telekomunikasi Bagi Memacu Transformasi Digital di Seluruh Negeri Melaka antara MICTH dan Maxis Berhad di Bilik Tun Bijasura, Pejabat Ketua Menteri, di sini, pada Khamis.

Majlis berkenaan disaksikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan turut bersama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Dr. Nazdiana berkata, sebagai langkah awal, MICTH dan Maxis Berhad memeterai perjanjian kerjasama bagi melengkapkan 151 menara telekomunikasi tambahan dengan rangkaian gentian optik berkapasiti tinggi secara berfasa bermula tahun ini.

Katanya, setakat ini hampir 200 menara MICTH telah dilengkapi rangkaian gentian optik, mewakili kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan menara milik syarikat berkenaan.

Beliau berkata, gentian optik menawarkan kapasiti dan lebar jalur (bandwidth) lebih besar serta sambungan yang lebih stabil berbanding teknologi gelombang mikro yang boleh dipengaruhi faktor cuaca dan halangan fizikal seperti bangunan atau pokok.

“Ada masanya kita nampak sesuatu kawasan itu ada liputan, tetapi talian masih perlahan disebabkan kekangan kapasiti. Dengan menggunakan gentian optik sebagai tulang belakang, kita harap dapat meningkatkan kapasiti supaya talian internet menjadi lebih laju,” katanya.

Tambah beliau, MICTH selaku anak syarikat Kerajaan Negeri akan terus memainkan peranan strategik dalam merancang, membangunkan dan mengoptimumkan aset telekomunikasi negeri supaya sentiasa seiring dengan hala tuju pembangunan Melaka sebagai sebuah negeri pintar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

757
Kongsi :
Previous post MELAKA CIPTA SEJARAH, 5 KAPAL TLDM BERLABUH SEMPENA MERDEKA