
MELAKA CIPTA SEJARAH, 5 KAPAL TLDM BERLABUH SEMPENA MERDEKA
SERKAM 28 Ogos – Melaka mencipta sejarah apabila lima kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan berlabuh di perairan Klebang sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026, sekali gus menjadi antara pengisian istimewa sambutan kemerdekaan di negeri bersejarah ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kehadiran aset berkenaan cukup bermakna memandangkan buat pertama kalinya, TLDM tampil memberikan sokongan kepada sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan di bumi Melaka.
Menurutnya, kehadiran kapal-kapal berkenaan juga membuka peluang kepada rakyat untuk melihat dengan lebih dekat aset pertahanan negara yang jarang dapat disaksikan secara dekat.
“Melaka mencipta sejarah. Buat pertama kali dalam sejarah, TLDM memberi sokongan kepada sambutan Hari Kebangsaan di Melaka dengan membawa aset-aset mereka untuk berlabuh di sini.
“Pastinya ini sesuatu yang luar biasa, pergilah hadir dan menjadi antara insan-insan bertuah kerana dapat melihat aset tentera laut ini berlabuh di Melaka,” katanya ketika berucap pada Santai Bersama Warga Pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota, sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Datuk Zaidi Attan; Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, peluang berkenaan wajar dimanfaatkan rakyat khususnya generasi muda untuk mengenali lebih dekat aset pertahanan negara selain menghayati peranan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia.
Difahamkan, lima kapal TLDM yang terlibat ialah Kapal Diraja (KD) Sri Indera Sakti, KD Pahang, KD Lekir, KD Laksamana Muhammad Amin dan KD Gempita.
Kesemua kapal berkenaan dijadual bersauh di perairan Klebang hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

