‘SIBUK MACAM MANA PUN, MESTI NAK JENGAH RAKYAT’

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SERKAM 27 Ogos – Kesibukan mengurus pentadbiran negeri bukan alasan bagi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk tidak turun padang dan bertemu rakyat secara bersemuka di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ab Rauf berkata, pendekatan itu penting bagi membolehkan beliau melihat sendiri keadaan serta memahami keperluan masyarakat, termasuk penduduk di kawasan kampung yang memerlukan perhatian kerajaan.

“Kita jengah rakyat, bukan senang mahu masuk kampung ini. Walaupun kerja banyak, tetapi saya cakap dengan semua wakil rakyat, macam mana pun saya mesti mahu berjumpa rakyat secara bersua muka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kelulusan Projek Bina Baharu dan Baik Pulih Rumah sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Serkam di Kampung Tedong Pantai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan; Pegawai Daerah dan Tanah Jasin, Datuk Rahizi Ranom serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.

Ab Rauf berkata, kehadirannya ke DUN Serkam juga bagi memuktamadkan keputusan berkaitan bantuan kepada penduduk yang dikenal pasti memerlukan, khususnya membabitkan keperluan kediaman.

Menurutnya, kehadiran pemimpin secara langsung di lapangan membolehkan masalah rakyat dikenal pasti dengan lebih dekat, selain memastikan bantuan yang diputuskan benar-benar sampai kepada golongan sasaran.

Dalam perkembangan sama, Ab Rauf turut menyifatkan Datuk Zaidi sebagai wakil rakyat yang sentiasa memainkan peranan penting dalam membawa isu dan keperluan penduduk untuk perhatian kerajaan.

“Saya panggil Datuk Zaidi Attan ini ‘chief’ sebab dia seorang yang suka berseloroh. Walaupun orang kecil tetapi cili padi,” katanya secara berseloroh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

544
Kongsi :
Previous post DANA ZAKAT SOKONG USAHA PEMULIHAN ‘ASNAF RIQAB’ – MAIM