DANA ZAKAT SOKONG USAHA PEMULIHAN ‘ASNAF RIQAB’ – MAIM

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

MERLIMAU 28 Ogos – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mahu dana zakat dimanfaatkan bukan sekadar untuk bantuan, tetapi turut membina kemahiran dan masa depan asnaf Riqab.

Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, peruntukan zakat Riqab digunakan bagi membantu golongan berkenaan mendapatkan kemahiran dan sumber pendapatan sebagai persediaan sebelum kembali menjalani kehidupan dalam masyarakat.

“Kalau kita tidak bagi mereka kemahiran dan pendapatan, nanti mereka keluar kita khuatir mereka akan kembali balik ke jalan lama.

“Harapan kita, biar mereka keluar itu dapat kembali menjalani kehidupan dalam masyarakat dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Kafe Riqab Pusat Koreksional Jasin, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Pusat Koreksional Jasin, Penolong Kanan Komisioner Penjara Shaharudin Ahmad dan Penolong Setiausaha (PSU) Bahagian Pembangunan Insan, MAIM, Zuraini Bibi Mohamed Yusoff.

Shaifulfazlee berkata, asnaf Riqab merujuk golongan yang sedang melalui proses melepaskan diri daripada belenggu dan dibantu supaya dapat kembali menjalani kehidupan dalam masyarakat.

Katanya, agihan bagi asnaf Riqab ketika ini sekitar 0.7 peratus daripada keseluruhan agihan zakat MAIM, namun pihaknya melihat ruang untuk memperluaskan penggunaan dana itu bagi projek yang mampu membantu golongan terbabit.

“Kita berpandangan ini adalah satu ruang yang baik untuk kita sama-sama membina semula kehidupan asnaf ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

388
Kongsi :
Previous post RM1.1 JUTA BINA, BAIK PULIH 31 RUMAH WARGA SERKAM
Next post ‘SIBUK MACAM MANA PUN, MESTI NAK JENGAH RAKYAT’