
LIMA KAPAL PERANG TLDM DIBUKA UNTUK LAWATAN, EMPAT SESI BERMULA ESOK
KLEBANG 28 Ogos – Pengunjung berpeluang melihat lebih dekat aset pertahanan negara apabila lima kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berlabuh di perairan Klebang dibuka untuk lawatan bermula esok.
Lawatan berkenaan akan dilaksanakan dalam empat sesi iaitu pada 8.30 pagi, 9.45 pagi, 11 pagi dan 12.15 tengah hari bagi memastikan pergerakan pengunjung dapat dikawal serta aspek keselamatan sentiasa diberi keutamaan.
Jurucakap Seketariat Kementerian Pertahanan bagi Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka berkata, pengunjung yang telah mendaftar akan diberi peluang mengikuti lawatan ke kapal berkenaan mengikut sesi yang ditetapkan.
“Waktu ini ditetapkan bagi memastikan faktor keselamatan aset dan pengunjung diberi keutamaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dataran 1Malaysia Klebang, di sini, hari ini.
Lima kapal berkenaan ialah KD Sri Indera Sakti, KD Lekir, KD Terengganu, KD Laksamana Muhammad Amin dan KD Gempita, yang berlabuh kira-kira dua batu nautika dari pantai Klebang sejak 8 pagi tadi.
Kehadiran aset berkenaan menjadi antara tarikan istimewa sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka, sekali gus memberi pengalaman kepada pengunjung melihat sendiri kapal perang TLDM dari jarak dekat.
Selain berpeluang menaiki kapal, pengunjung juga dapat mengenali dengan lebih dekat peranan serta keupayaan aset pertahanan negara dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Menurut jurucakap itu, orang ramai turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti lain yang disediakan bermula esok hingga 31 Ogos, termasuk pameran ketenteraan, demonstrasi anjing perang, Gun in Action serta pameran pelbagai agensi.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka akan berlangsung selama tiga hari di Klebang pada 29 hingga 31 Ogos ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


