KING KING ‘BELAJAR’ DUDUK DALAM KOTAK SEBELUM PULANG KE ZOO MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 29 Ogos – Membawa pulang Harimau Malaya jantan atau namanya King King seberat 171 kilogram (kg) memerlukan proses latihan, pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tahap stres haiwan itu berada pada paras minimum.

Pegawai Sains Zoo Melaka Muhammad Rafiq Jasmi berkata, membawa haiwan liar untuk proses pemindahan bukan sekadar memasukkannya ke dalam kotak sebelum bergerak ke destinasi.

Katanya, sebelum pergerakan dilakukan King King perlu melalui fasa latihan atau ‘conditioning’ bagi membiasakannya dan menyesuaikan diri dengan kotak pengangkutan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Proses ini penting kerana harimau tidak boleh dipaksa masuk ke dalam kotak secara tiba-tiba, sebaliknya perlu dilatih supaya pergerakan dapat dilakukan dengan selamat dan terkawal serta mengurangkan risiko semasa pemindahan.

“Cabaran pertama ialah bagaimana nak menyesuaikan Harimau Malaya duduk dalam kotak pengangkutan, ‘crate’ yang mana proses ini memerlukan masa dan beberapa tempoh,”katanya kepada Melaka Hari Ini.

Rafiq Jasmi berkata, itu antara cabaran yang dihadapi pasukan Zoo Melaka dalam memastikan kepulangan haiwan liar berusia 18 tahun itu dari Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai ke Zoo Melaka berjalan lancar.

Tambahnya, faktor tekanan turut menjadi perhatian utama sepanjang proses pemindahan berkenaan bagi memastikan keadaan fizikal dan tingkah laku King King sentiasa dipantau.

Katanya, beberapa hentian turut dilakukan sepanjang perjalanan bagi membolehkan doktor veterinar membuat pemantauan kesihatannya.

“Pengurusan pemindahan haiwan secara terancang ini penting dalam memastikan usaha konservasi Harimau Malaya dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kebajikan haiwan, dan mengurangkan risiko khususnya bagi spesies yang memerlukan pengurusan pembiakan secara terkawal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

693
Kongsi :
Previous post PERSEMBAHAN HARI KEBANGSAAN TERBAIK UNTUK RAKYAT MELAKA
Next post TOK RAUF BAWA SINAR BAHARU BUAT PEWARIS ROTI CANAI 20 TAHUN