
PERSEMBAHAN HARI KEBANGSAAN TERBAIK UNTUK RAKYAT MELAKA
KLEBANG 29 Ogos – Rakyat Melaka dihidangan dengan pelbagai aktiviti menyuburkan semangat patriotisme, cintakan negara dan kerohanian yang terbaik sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan kali ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara program memeriahkan sambutan adalah Melaka Berselawat dan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti.
“Jangan lupa orang Melaka pada malam ini kita anjurkan Melaka Berselawat di Dataran 1Malaysia Klebang. Pada 31 Ogos pula kita ada perarakan Hari Kebangsaan.
“Terima kasih saya ucapan kepada ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua pihak yang bersama-sama menjayakan program sudah disusun,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas menyaksikan Raptai Penuh Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Bagi Tahun 2026 Peringkat Negeri Melaka di Jalan Persiaran, Pantai Klebang, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Panglima Divisyen Ketiga Infantri Mejar Jeneral Datuk Sani S Omar.
Ab Rauf berkata, turut berlangsung Karnival Kerjasama Awam-Tentera (Civil Military Cooperation – CIMIC) bertujuan memberi peluang kepada orang ramai mengenali dengan lebih dekat berhubung keupayaan, peranan dan kepakaran semua abang perkhidmatan ATM.
“Tidak lupa sempena sambutan Hari Kebangsaan rakyat Melaka berpeluang menaiki kapal perang milik TLDM yang ketika ini sedang berlabuh di perairan Selat Melaka di Klebang,” katanya.
Lima kapal perang berkenaan melibatkan KD Seri Indera Sakti, KD Lekir, KD Laksamana Muhammad Amin, KD Gempita dan KD Terengganu.
Sementara itu aset TUDM mengambil bahagian bagi segmen pertunjukan udara pula melibatkan SU-30 MKM, F/A-18 D Hornet, Hawk 200, pesawat Pengangkut Airbus A400M dan C-130 Hercules.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

