NEGERI MAJU, RAKYAT TERBELA – RAKYAT SERKAM PUJI KEPIMPINAN TOK RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SERKAM 29 Ogos – Inisiatif Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam mendapat penghargaan masyarakat setempat yang menyifatkan pendekatan turun padang sebagai bukti kepimpinan negeri sentiasa dekat dengan denyut nadi rakyat.

Bagi Azrul Fazrin Saarin, 44, dari Kampung Tedong, bantuan yang diterima rakyat pada program berkenaan bukan sahaja meringankan keperluan semasa, malah membuatkannya rasa lebih dekat dengan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan kerana hadir membawa pelbagai sumbangan untuk rakyat.

“Pada saya, kepimpinan Tok Rauf membuatkan semua rakyat rasa terbela. Bagus dan elok dikekalkan pemimpin seperti ini yang membela kehidupan rakyat,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini pada program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Serkam, di sini, pada Khamis.

Nada sama turut disuarakan, S Balakrishnan, 64, dari Kampung Kilang Berapi yang menyifatkan kepimpinan Ab Rauf sebagai dekat dengan rakyat, selain memuji kemajuan yang dinikmati negeri ini.

“Ketua Menteri bagus. Melaka maju, rakyat pun senang. Saya suka apabila beliau jumpa rakyat. Itu yang saya katakan dengan ikhlas, kita sebagai rakyat Melaka hidup senang,” katanya.

Menurut Balakrishnan, kehadiran pemimpin secara langsung dalam program bersama masyarakat juga memberi peluang kepada rakyat menyampaikan pandangan dan merasai sendiri keprihatinan kepimpinan negeri.

Terdahulu, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Serkam membawa pelbagai inisiatif dan sumbangan kepada masyarakat setempat dengan keseluruhan peruntukan RM150,000, merangkumi bantuan pendidikan, keusahawanan, nelayan, kesihatan, kebajikan serta bantuan kepada mangsa banjir.

Selain itu, lebih RM1.1 juta turut diperuntukkan bagi pembinaan lapan rumah baharu dan kerja baik pulih 23 rumah di DUN berkenaan, sekali gus memberi sinar baharu kepada keluarga yang memerlukan kediaman lebih selesa dan selamat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

272
Kongsi :
Previous post SEDEKAD ASBAM PERKUKUH BUKTI SEJARAH KESULTANAN MELAYU MELAKA
Next post PERSEMBAHAN HARI KEBANGSAAN TERBAIK UNTUK RAKYAT MELAKA