
PRODUK, WARISAN MELAKA ‘MENYERLAH’ DI KUALA LUMPUR
KUALA LUMPUR 29 Ogos – Dari sajian asam pedas hingga produk usahawan dan warisan budaya, Melaka berjaya ‘membawa keluar’ pesona negeri ke ibu negara menerusi Melaka Showcase 2026 yang berakhir semalam di Medan MARA Kuala Lumpur.
Program selama tiga hari itu bukan sekadar mempamerkan produk tempatan, malah menjadi medan memperkenalkan keunikan identiti Melaka menerusi gabungan keusahawanan, gastronomi, inovasi, seni dan budaya kepada pengunjung di Kuala Lumpur.
Sebanyak 64 usahawan Melaka mengambil bahagian dengan mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan tempatan, sekali gus membuka ruang kepada pengusaha memperkenalkan jenama masing-masing kepada pasaran baharu.
Antara pengisian yang mencuri perhatian ialah Battle Asam Pedas Warisan Melaka yang menampilkan hidangan ikonik negeri itu dalam suasana lebih santai dan interaktif, selain demonstrasi Seni Gubahan Hamper Chic.
Elemen inovasi turut diberi ruang menerusi peluncuran aplikasi MySafar milik Mysafar Sdn Bhd yang menawarkan pendekatan alternatif kepada masyarakat dalam merancang perjalanan ibadah umrah secara lebih fleksibel dan kos efektif.
Aplikasi itu membantu pengguna mengurus keperluan perjalanan termasuk pembelian tiket penerbangan dan penyusunan atur cara, khususnya bagi mereka yang memilih konsep Umrah DIY.
Dalam pada itu, dua produk usahawan Melaka menerusi MDS Food Industry dan Hanuris Food Industry Sdn Bhd turut dilancarkan, mencerminkan usaha pengusaha tempatan menghasilkan produk baharu yang lebih kompetitif serta berpotensi menembusi pasaran lebih besar.
Keunikan budaya Melaka turut dihidupkan menerusi Sarong Melaka Flash Mob yang memberi pendekatan kreatif dan santai dalam memperkenalkan warisan negeri kepada pengunjung.
Turut mencuri perhatian ialah Brew Master Session yang mengetengahkan kemahiran dan kreativiti dalam industri minuman, sekali gus memberi dimensi berbeza kepada ekosistem keusahawanan tempatan.
Hari terakhir program itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Ir. Dr. Mahzan Teh dan Timbalan Exco Pembangunan, Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.
Melaka Showcase 2026 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Ogos itu menjadi platform strategik dalam memperluas jaringan perniagaan, memperkenalkan produk tempatan dan membawa identiti Melaka lebih dekat kepada pasaran luar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

